Jejak Warisan Jawi II

09 June 2008

Semangat Sayang Bangsa

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

(Harian Metro 8 Jun 2008)

GOMBAK: Semangat sayangkan bangsa yang diterapkan dalam Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dan mahu mempelajari ilmu mempertahankan diri menarik minat ramai golongan muda terutama penuntut pusat pengajian tinggi (IPT) untuk menjadi pelapis meneruskan seni silat Melayu berkenaan.

Penuntut Pengurusan Pejabat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Nurul Aini Muzammil, 20, berkata matlamat persatuan yang mahu menyatupadukan orang Melayu menjadi tarikan utama untuknya menyertai PSSCM selepas membuat perbandingan dengan beberapa persatuan seni silat lain.

“Namun, paling penting ialah mempelajari ilmu mempertahankan diri. Bagi saya setiap wanita perlu ada ilmu mempertahankan diri terutama dalam keadaan sekarang.“Selepas dua tahun belajar silat cekak, banyak perubahan baru yang saya alami. Kini saya berasa lebih yakin dan berani kerana sudah belajar cara melindungi diri sendiri jika berhadapan dengan ancaman yang tidak disangka,” katanya.

Beliau bersama 738 rakan ahli PSSCM dari seluruh negara menerima sijil tamat kursus pada majlis Konvokesyen Silat Cekak bersempena sambutan 42 dan 43 tahun seni silat cekak Malaysia yang disampaikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini semalam. Hadir sama Presiden PSSCM, Ishak Itam.

Rakannya, Alhuda Kamarudin, 20, penuntut jurusan Kejuruteraan Awam bangga berpeluang menjadi ‘pewaris’ seni silat cekak yang pernah diamalkan panglima kerajaan Kedah pada zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II.

Selain itu, cara mempertahankan diri silat cekak yang menggunakan konsep berdiri, ringkas dan tidak banyak pergerakan itu sendiri dirasakan sesuai bagi wanita. Kaedah itu, katanya membolehkan wanita sentiasa dalam keadaan ‘bersedia’ dalam sebarang situasi.

Bagi penerima Sijil Cemerlang, Mazlan Mohd Noh, 21, penuntut Diploma Sains UiTM Jengka, PSSCM bukan sekadar membekalkan ilmu seni mempertahankan diri tetapi turut menekankan aspek agama termasuklah pergerakan silat cekak itu sendiri.

0 komentar: