Jejak Warisan Jawi II

28 August 2008

Panduan Penubuhan dan Pengurusan Persatuan Silat Sekolah

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
BLOK J, PARAS 7
PUSAT BANDAR DAMANSARA
50604 KUALA LUMPUR

Ruj. Kami : KP(BS)8591/Jld.VI / (90)
Tarikh : 10 Februari 1992

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 4/1992 :
Panduan Penubuhan dan Pengurusan
Persatuan Silat Sekolah

DATO’ ASIAH BT ABU SAMAH
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia


1. Pendahuluan

1.1 Dipercayai bahawa silat di Malaysia telah berusia lebih dari 400 tahun. Pengajaran dan pembelajaran diwariskan dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini. Sedaya yang boleh segala keaslian budaya silat seperti cara berpakaian, langkah gerak, istiadat dan lain-lainnya dipelihara.

1.2 Kegiatan silat kini bukan sahaja aktif di kalangan masyarakat Melayu di kampung malah diterima sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah, maktab perguruan, universiti dan juga di kelab-kelab rekreasi dan sukan Jabatan Kerajaan dan swasta. Badan Penyelaras kegiatan silat di Malaysia, Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dalam tahun 1983.

1.3 Pada Disember 1987 negara kita telah menjadi tuan rumah kepada Kejuaraan Ke-4 Silat Sedunia. Masyarakat di negara ini telah dikejutkan oleh penyertaan dari negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Kemunculan peserta-peserta dan negara-negara ini telah memberi semangat kepada
pencipta silat untuk mengembangkan pengajaran silat ke seluruh pelusuk negara.

1.4 Usaha ini disokong pula dengan permintaan yang bertambah dari masyarakat umum untuk membuka kelas-kelas silat. Perkembangan seterusnya memperlihatkan acara pertandingan silat dimasukkan ke dalam Sukan SEA. Sukan Malaysia dan Sukan Merdeka Brunei. Kejuaraan-kejuaraan khusus untuk silat turut dianjurkan baik di dalam mahupun di luar negara. PESAKA menganjurkan Kejuaraan Silat Kebangsaan, Kejuaraan Silat Terbuka Malaysia dan Kejuaraan Silat Remaja Malaysia. Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) menganjurkan Kejuaraan Jemputan Silat Singapura, dan Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT) menganjurkan Kejuaraan Silat Sedunia.

1.5 Terdapat 267 jenis silat di negera ini. Setiap Perguruan mempunyai kesamaan dankelainan di antara satu sama lain. Dalam perkara ini pengamal silat perlu mengetahui matlamat mempelajari silat agar boleh memilih jenis silat yang bersesuaian.

1.6 Sehubungan dengan ini, Kementerian Pendidikan merasakan perlu perkembangan silat di sekolah ditentukan arahnya. Penentuannya akan dapat dijadikan asas kepada jenis silat yang dipilih dan seterusnya mengawasi perjalanan kegiatan-kegiatannya bagi memastikan ianya mencapai matlamat.


2. Matlamat

2.1 Untuk menyemai dan mengukuhkan rasa cinta para pelajar terhadap warisan budaya bangsa.

2.2 Untuk melahirkan generasi yang berdikari, bersikap positif, sabar, berani menghadapi cabaran dan yakin pada diri.

2.3 Menyediakan pelbagai aktiviti silat di sekolah.


3. Dasar Penubuhan Kelab Silat Sekolah

3.1 Penubuhan kelab silat sekolah adalah tertakluk kepada ’The School (Societies) Regulation 1956’.

3.2 Untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kelab, sekolah-sekolah hendaklah mendapat bantuan nasihat dan tenaga pengajar dari perguruan-perguruan silat yang berdaftar dengan :

a. Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA);
b. Majlis Silat Negeri;
c. Majlis Silat Daerah;
d. Badan-badan Perguruan Silat yang berdaftar.

3.3 Bagi tujuan penyelarasan serta kawalan perkara-perkara berikut hendaklah dijadikan panduan di dalam membuat pemilihan perguruan silat yang sesuai :

3.3.1 Pendaftaran Perguruan Silat - Perguruan Silat hendaklah berdaftar. Sesalinan Sijil Pendaftaran badan perguruan perlu diperolehi oleh pihak sekolah. Status pendaftarannya boleh secara langsung kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau berdaftar dengan mana-mana badan lain yang berdaftar dengan Jabatan berkenaan.

3.3.2 Pendaftaran Tenaga Pengajar - Semua tenaga pengajar hendaklah berdaftar. Sesalinan Sijil Kejurulatihan yang dikeluarkan oleh badan perguruan berkenaan hendaklah diperolehi dari tenaga pengajar yang ditugaskan di sekolah.

3.3.3 Adat Istiadat Perguruan - Adat istiadat Perguruan Silat yang dijalankan hendaklah tidak menyalahi ajaran Agama Islam atau boleh memesongkan akidah para pelajar. Antara adat istiadat yang tidak wajar dilakukan ialah seperti menyemah gelanggang, memakai tangkal, azimat dan pertapaan.

3.3.4 Kurikulum - Kurikulum perguruan silat hendaklah jelas dan terancang serta mampu menyediakan para pelajar untuk menyertai pertandingan di dalam pertandingan-pertandingan yang diiktiraf seperti Pertandingan Silat Olahraga dan Pertandingan Silat Seni. Kurikulum silat juga perlu jelas dalam hal-hal mengenai peringkat pencapaian dan pensijilan.

3.4 Hanya para pelajar lelaki dan perempuan berumur sekurang-kurangnya 10 tahun sahaja dibenarkan mengikuti latihan silat.


4. Pengurusan Kelab Silat Sekolah

4.1 Organisasi

4.1.1 Penasihat - Kelab Silat sekolah hendaklah diawasi oleh sekurang-kurangnya seorang guru.
Di antara tanggungjawab guru penasihat ialah :

a. Menubuh sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh pelajar yang akan menolong merancang dan mengurus aktiviti kelab.

b. Membimbing jawatankuasa kelab merancang, merangka dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dapat memupuk dan mempertingkatkan minat pelajar, sehubungan dengan ini, guru penasihat
seharusnya mempunyai pengetahuan yang diperlukan.

c. Mendapatkan bantuan jurulatih bertauliah dalam merancang dan melaksanakan aktiviti yang bersesuaian.

d. Membantu ahli mengenalpasti masalah, menganalisanya dan seterusnya mencari langkah untuk mengatasi masalah tersebut.

e. Hadir dalam semua perjumpaan dan latihan yang diadakan oleh Kelab.

f. Memupuk keyakinan diri dan ketabahan di kalangan ahli Kelab dalam usaha meningkatkan kemahiran bersilat.


Untuk menjalankan tugas dengan lebih berkesan, Penasihat Kelab seelok-eloknya didedahkan kepada pengetahuan seperti berikut :-

a.Konsep dan falsafah silat.
b.Adat istiadat dalam Silat.
c.Kurikulum Silat.
d.Jenis dan sistem pertandingan silat.


4.1.2 Jawatankuasa

a. Jawatankuasa hendaklah terdiri daripada :
Pengerusi
Naib Pengerusi
Setiausaha
Bendahari
dan ahi-ahli jawatankuasa, yang bilangannya bergantung kepada bilangan ahli dalam kelab. Bagi sekolah-sekolah rendah memadai dengan melantik seorang Pengerusi untuk membantu Guru Penasihat.

b. Ahli Jawatankuasa perlu diasuh dan dilatih untuk membolehkan mereka memainkan peranan penyeliaan dan membantu guru dalam kerja-kerja pengurusan kelab.

Sumber : http://www.moe.gov.my/galeri_awam/pekeliling/2008_BTMK_212_1904_3777.pdf

22 August 2008

Final Piala Malaysia: Mampukah 'Giant' baham 'Sang Kenari' esok?

Oleh BH, Utusan
Jumaat, 22 Ogos 2008


DUA penampilan dalam perlawanan akhir sebelum ini berakhir dengan kejayaan menjulang kejuaraan Piala Malaysia, dan kapten Selangor, Shukor Adan mengharapkan kemunculan ketiganya apabila berdepan Kedah Sabtu ini, turut berakhir dengan kejayaan buat Selangor.

Namun, pemain kelahiran Masjid Tanah itu mengakui terdapat perbezaan dalam skuad Selangor kini berbanding ketika dia bersama barisan Merah Kuning yang muncul juara pada 2002 dan 2005.

"Ketika musim 2002, Selangor ketika itu dibarisi pemain berpengalaman seperti Azman Adnan, Lim Chan Yew dan Azmin Azram Aziz manakala skuad 2005 diwakili pemain yang bermain sebagai satu unit serta kehadiran pemain import mantap seperti Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes.

"Pada musim 2005 juga, kami berada di tahap terbaik selepas menjuarai Liga Perdana dan Piala FA, sekali gus memberi keyakinan tinggi kepada pemain menjelang final bertemu Perlis.

"Aksi perlawanan akhir kali ini pula memberi cabaran berbeza kepada pemain, kerana selepas gagal dalam saingan Liga Super dan Piala FA, ini adalah peluang terakhir kami menamatkan musim ini dengan kejayaan untuk dihadiahkan kepada penyokong kami," kata Shukor.

Shukor bertekad mahu memastikan aksi ketiga bersama Selangor di final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, berakhir dengan kejayaan, malah berasa barisan pemain kali ini turut mempunyai keistimewaan tersendiri.

Baginya, walaupun Kedah kelihatan mantap sepanjang musim, dia tetap yakin skuad Dollah Salleh kali ini mampu mencapai prestasi kemuncak kerana setiap pemain tahu betapa besar erti kejayaan Piala Malaysia buat Selangor kali ini.

"Masih terdapat beberapa pemain seperti Elie (Aiboy), Amri (Yahyah), D Surendran dan Razman (Roslan) dari skuad 2005, dan pemain muda seperti Asraruddin (Putra Omar) dan Amirulhadi (Zainal) kini semakin matang.

"Ini adalah keistimewaan skuad kali ini kerana jurulatih menggabungkan pemain berpengalaman dan beberapa pemain muda yang berpotensi. Kedah mungkin pasukan pilihan, tetapi Piala Malaysia adalah pertandingan berbeza.

"Ia sentiasa membuatkan Selangor melonjak ke aksi terbaik, walaupun di atas kertas Kedah kelihatan lebih kuat, sejarah Piala Malaysia sebelum ini pernah membuktikannya ia berakhir sebaliknya," kata Shukor.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan mula membuka kaunter jualan tiket final itu di Stadium Shah Alam hari ini hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 7 petang bagi memudahkan penyokong Selangor membeli tiket.

Utusan pula melaporkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli terpaksa melupakan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Kedah, Sabtu ini gara-gara kecederaan lama lutut kanannya yang berulang.

Sudahlah kempunan menjulang Piala FA, Mei lalu dan hanya mampu memanaskan bangku simpanan, aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil ini pula sekadar dapat ditontonnya sebagai pemerhati dari luar padang apatah lagi dengan menentang negeri kelahirannya.

"Cukup hampa kerana sepatutnya inilah perlawanan akhir Piala Malaysia pertama saya setelah tidak berpeluang turun ketika Selangor kalah Piala FA. Saya tercedera sejak separuh akhir pertama di Shah Alam lalu," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Akmal Rizal yang kerap turun selaku penyerang gantian minit akhir dengan berjersi nombor 14 Gergasi Merah, pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan pada bahagian yang pernah dibedah itu memerlukan pemulihan selama dua minggu lagi.

"Walaupun tidak dapat bermain, saya tetap mendoakan kejayaan buat pasukan Selangor kerana sebagai pemain simpanan pun, saya tetap akan beroleh pingat kejuaraan jika kami menewaskan Kedah," katanya yang masih menjalani senaman ringan di gimnasium.

Mengenai pertembungan bagi edisi pertandingan ke-82 ini, katanya, "peluangnya 50-50 kepada kedua-dua pasukan. Tiada kelebihan gelanggang sendiri walaupun Selangor lebih dekat dengan Bukit Jalil malah ketika Piala FA di Shah Alam, Kedah memiliki sejumlah besar penyokongnya.

"Saya ramalkan 90 minit perlawanan ini sudah cukup menentukan siapa juara," katanya yang menyedari ketiadaannya di padang pasti dialu-alukan penyokong Hijau Kuning yang lantang mengejeknya ketika menentang Selangor di Stadium Shah Alam dalam perlawanan Liga Super musim ini.

"Itu lumrah peminat bola sepak. Mereka mungkin tidak faham bukan saya yang tinggalkan atau membelakangkan Kedah tetapi kontrak saya yang ditamatkan dan sebagai pemain profesional, saya perlu mencari haluan baru karier saya," kata anak jati Jitra, Kedah ini yang menyertai Selangor mulai musim 2006-2007.

Sepanjang Liga Malaysia musim ini, Akmal Rizal yang kali terakhir mewakili skuad negara menentang Indonesia di Surabaya, Jun lalu, telah menjaringkan 10 gol iaitu lima bagi Liga Super, tiga dalam Piala FA dan hanya dua ketika Piala Malaysia yang bermula pada 11 Jun lalu.

Namun skuad Merah Kuning masih tidak ketandusan penyerang selain Frank Seator dan Safee Sali dalam kesebelasan utama kerana S. Sritharan, Fadzli Saari, Indra Putra Mahayuddin dan R. Surendren mahupun Amri Yahyah mampu merobek gawang Kedah kawalan Helmi Eliza Elias.

16 August 2008

Kursus Penerangan Zon IPT Lembah Klang 2008

9 - 10 Ogos 2008 ; Shah Alam - Hampir 17 buah Kelas Latihan PSSCM IPT Lembah Klang telah menyertai Kursus Penerangan, Pengulasan dan Pertunjukan Siri 4/2008 (Zon IPT Lembah Klang) anjuran Jabatan Penerangan PSSCM Pusat telah berlangsung selama 2 hari di Bilik Seminar, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Hari Pertama (9 Ogos 2008 - Sabtu)
Program ini telah dirasmikan oleh Wakil Timbalan Naib Cancelor (HEPA), YBhg Prof Dato' Hj Nasuddin Othman pada jam 8.30 pagi. Turut berucap ialah saudara Mohd Saffwan Ruslan selaku Pengarah Program (Pelajar) dan Encik Roslin Ali Omar selaku Setiausaha Agung PSSCM. Kelas Latihan IPT Cawangan Selangor juga tidak ketinggalan menghantar peserta mereka ke program ini iaitu UPSI Tanjung Malim, Politeknik Behrang dan UniKL-MIAT Dengkil.

Selain itu, turut hadir ke program perasmian tersebut ialah Ketua Penerangan PSSCM Pusat, Encik Rosman Mat Deli, Penolong Ketua Penerangan iaitu Roslizan Ahmad Mahidin dan Penolong Bendahari Agung iaitu Encik Suradi Abd Rahman serta kedua-dua Penolong Setiausaha Agung PSSCM iaitu Encik Hafiz Jamil dan Ustaz Kaharuddin Abd Rahman.

Program dimulakan dengan Ceramah I yang telah disampaikan oleh Setiausaha Agung PSSCM, Encik Roslin Ali Omar yang bertajuk 'Krisis 1993 - Penerangan dan Pengulasan'. Di samping penerangan tentang peristiwa dan rentetan yang berlaku sebelum dan semasa kemuncak krisis, beliau juga menerangkan tentang Tonggak 12 Pentadbiran PSSCM yang sedang dilaksanakan oleh pihak Pusat iaitu Keputusan, Organisasi, Komunikasi, Informasi, Hartanah, Keahlian, Kepimpinan, Kewangan, Daulat, Bersih, Melayu Mu'min dan Bersatu.

Pada sesi petang pula, Penolong Ketua Penerangan iaitu Encik Roslizan Ahmad Mahidin meneruskan dengan Ceramah 2 dengan tajuk 'Etika Pegawai Penerangan'. Manakala dalam Ceramah 3 pula dengan tajuk 'Konsep dan Skop Demonstrasi' telah dibentangkan sendiri oleh Ketua Penerangan PSSCM, Encik Rosman Mat Deli.

Manakala pada sebelah malamnya, Bengkel dan Praktikal Penerangan dan Pengulasan telah mengisi ruang dengan membahagikan para peserta kepada beberapa kumpulan. Para peserta telah disediakan penginapan di Kolej Cempaka.

Hari Kedua (10 Ogos 2008 - Ahad)
Sesi pagi telah diteruskan dengan pembentangan bengkel dan latihan praktikal pengulasan dan demonstrasi mengikut kumpulan yang telah dibahagikan yang dikendalikan oleh Ketua Penerangan PSSCM sendiri.

Majlis Penutup telah berlangsung pada sekitar jam 2.00 petang. Tuan Hj Maideen Kadir Shah, Naib Presiden PSSCM telah menyampaikan Ucapan Perasmian Penutup program dan sesi pemyampaian sijil-sijil dan cenderahati serta nyanyian lagi rasmi PSSCM iaitu 'Warisan Mutlak' mengakhiri program.








12 August 2008

Hari Kokurikulum SAMTTAJ 2008



30 Julai 2008, Shah Alam - Acara tahunan yang disambut oleh Badan Aktiviti Ko-Kurikulum telah diadakan oleh pihak Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11 Shah Alam di Padang Sekolah. Acara bermula jam 7.30 pagi dengan bacaan al-quran. Seterusnya pembarisan Pasukan Pakaian Seragam menyusul daripada Kadet Polis, Kadet Bomba, Puteri Islam, PBSM & Pengakap.

Setelah tamat acara pembarisan, pertandingan persembahan seni mempertahankan diri mengambil tempat dengan 3 (tiga) badan wajadiri mengambil bahagian iaitu Tae Kwan Do, Seni Gayung Malaysia dan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).

Ahli-ahli PSSCM di sekolah tersebut yang terlibat membuat persembahan merupakan Ahli-ahli Peringkat Potong (Kelas SAMTTAJ-1) dan merupakan tahun kedua mereka mengadakan persembahan sempena Hari Ko-Kurikulum Sekolah. Turut memberi sokongan kepada ahli-ahli PSSCM-SAMTTAJ ialah Puan Zawiyah Ma'amur (Guru Penasihat), Cik Rosmariza Hamzah (Pembantu Jurulatih) dan Puan Aisyah Standley Abdullah (Pembantu Kelas) serta Abdur Rozaq Ibrahim (Pen. Setiausaha Cawangan).

Pasukan PSSCM-SAMTTAJ mendapat tempat kedua dalam pertandingan tersebut. Pasukan tersebut juga mendapat pujian daripada Guru Penasihat mereka kerana walaupun dengan latihan yang hanya mengambil masa 3 hari sahaja tetapi pasukan PSSCM-SAMTTAJ tersebut dapat membuat persembahan dengan baik dan berdisiplin.

Selain aktiviti di atas, pihak sekolah juga telah menganjurkan aktiviti pertandingan memasak, futsal dan gajet serta Anugerah Kecemerlangan Ko-Kurikulum. Program berakhir jam 12.45 tengahari dengan acara Perasmian Penutup oleh Puan Pengetua, Puan Asmawati Ahmad Ishak di samping penyampaian hadiah-hadiah kepada yang berkenaan
.






06 August 2008

Pertunjukan Silat Cekak di Stadium Shah Alam

Program : Sambutan 100 Hari Kerajaan Baru Selangor
Tarikh : 20 Jun 2008 (Jumaat)
Lokasi :
Stadium Shah Alam
Acara : 9 pagi - 12 malam (Pameran & Jualan) (Ucapan oleh Y.A.B. Menteri Besar Selangor)
Waktu Persembahan :
9.00 malam.
Seni Beladiri Terlibat : Silambam & Silat Cekak Malaysia.

Format Persembahan : Persembahan Formasi (tanpa aksi pergaduhan).
Komander Pertunjukan (PSSCM) : Mohd Sani Osman.
Jumlah Kekuatan : 50 orang.
Wakil ke Mesyuarat JK Persembahan Program : YDP Cawangan & Setiausaha Cawangan.