Jejak Warisan Jawi II

28 June 2008

Projek Blackwind

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai Kumpulan 4x4 'Blackwind' atau aktiviti-aktiviti mereka, sila hubungi : sdr. Saiful Affandee Mohd Rais (chip) 019-2205850 atau emel kepada projekblackwind@gmail.com

Ahli Setakat ini : 6 orang (K1-K6)
Jenis Kenderaan : 4x4 Pajero
Warna Kenderaan : Hitam
Status Ahli Sediada : Kesemua 6 orang adalah AJK Cawangan Selangor.




26 June 2008

Makluman : Program Ibadah Qurban 1429H


Pusat Latihan PSSCM Kelang bercadang untuk mengadakan IBADAH QURBAN pada tahun ini (Zulhijjah 1429H.) Dengan ini kami mempelawa kepada seluruh warga PSSCM dan masyarakat umum bagi kerjasama menyertai ibadah yang bakal diadakan pada tahun ini.

BAYARAN : Dibuat secara ansuran selama 7 (tujuh) bulan bermula pada bulan JUN 2008 hingga DISEMBER 2008. Bayaran bagi satu bahagian lembu adalah SEBANYAK RM370.00. Bayaran bulanan adalah sebanyak RM53.00 SAHAJA. (Seekor Lembu pecahan kepada 7 bahagian).

BAYARAN TERMASUK BAYARAN BAGI PENGURUSAN SEPANJANG HARI PROGRAM.

Borang penyertaan boleh diambil terus daripada :
Pihak Pengurusan Pusat Latihan Klang di alamat Lot 853 , Lorong Hj Mukapi , Kg Batu 3 Jalan Kapar, Klang. (Tel : 019-3332917)
ATAU
Sila berhubung terus dengan : sdr. Muhammad Zaki Bin Md Zahri 019-2229085

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".

Surah Al-Haj ayat 37

23 June 2008

Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 - 9 Jun 2008

Terima Kasih Kepada Semua

Kesempatan ini kami ambil untuk mengucapkan terima kasih dari pihak cawangan kepada semua ahli-ahli yang terlibat dalam membuat persembahan pada 20hb Jun 2008 di stadium Shah Alam. Kejayaan kita ialah dapat berkerjasama untuk membuat persembahaan dengan kekuatan 50 orang ahli walaupun di beri masa hanya 3 hari..

Taniah!! dan teruskan
'BERSAMA BERSATU'

Lihat Video Persembahan di SALAM CEKAK

21 June 2008

Piala FA - Selangor Turun Barisan Terbaik

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my




ZAKARIA (dua dari kanan) dan Dollah (tiga dari kanan) mengetuai majlis pemotongan kek bersama ahli-ahli Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor di Kelana Jaya semalam.



PERLAWANAN akhir Piala FA 2007/08 di Stadium Shah Alam malam ini bakal menampilkan kesebelasan terbaik skuad Selangor dalam usaha mereka menyekat Kedah daripada mempertahankan kejuaraan tersebut. ZAKARIA (dua dari kanan) dan Dollah (tiga dari kanan) mengetuai majlis pemotongan kek bersama ahli-ahli Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor di Kelana Jaya semalam.

Pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim melaungkan keyakinan itu berdasarkan semangat dan kesungguhan pemain Red Giants sepanjang sesi latihan sejak Khamis lalu.

"Semua pemain saya dilihat begitu bersemangat, bertenaga dan mereka sudah tidak sabar untuk turun beraksi. Saya gembira melihat suasana begini.

"Lagipun, ramai yang belum pernah merasai aksi akhir Piala FA, cuma lima pemain yang beraksi dalam final 2005 masih berada dalam pasukan iaitu Shukor Adan, P. Gunalan, D. Surendran, Amri Yahyah dan Elie Aiboy," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya kesebelasan yang bakal diturunkan malam ini, Zakaria masih berteka-teki untuk meletakkan siapa yang akan beraksi kerana katanya ia hanya akan ditentukan empat jam sebelum perlawanan iaitu ketika mesyuarat pasukan petang ini.

"Walaupun D. Surendran digantung perlawanan, kita ada banyak pilihan. Cuma Razman Roslan masih mengalami kesakitan di bawah perut selepas perlawanan Selasa lalu.

"Saya dan jurulatih (Dollah Salleh) akan memilih mereka yang terbaik untuk beraksi esok (malam ini). Mungkin kita akan letak Amri Yahyah sama ada sebagai penyerang atau bek kanan, tengoklah nanti," jelas Zakaria.

Mohd. Suffian Abdul Rahman sudah pasti diberi tanggungjawab mengawal pintu gol Selangor sambil posisi pertahanan menjadi rebutan Evans Chisulo, Nasriq Baharom, Razman Roslan, Asraruddin Putra Omar, P. Gunalan dan Abdul Ghani Rahman.

Di barisan tengah, Shukor Adan, Elie Aiboy, Amirul Hadi Zainal, R. Surendran, Indra Putra Mahayuddin dan Safiq Rahim pasti berusaha mendapatkan tempat manakala posisi serangan menjadi rebutan antara Safee Sali, Amri Yahyah, Frank Seator dan Akmal Rizal Rakhli.

Andai dapat mengatasi Kedah malam ini, Selangor bakal menjulang trofi Piala FA buat kali kelima dan lebih menarik, ia juga bakal menjadi piala pertama dijulang Zakaria selepas baru 21 hari dilantik sebagai pengurus pasukan.

Hari Tenaga Pengajar PSSCM 2008

Tarikh : 7 Jun 2008 (Sabtu)
Masa : 2.30 - 5.30 petang.
Lokasi : Dewan Utama, UIAM Gombak.
Perasmi : YM Guru Utama PSSCM.


Lain-lain :
a) Penerima Anugerah Guru Utama 2008 : Saudara Roslin bin Ali Omar
b) Jumlah Perlantikan Semula Tenaga Pengajar : 758 orang.
c) Jumlah Kelas Latihan Terkini : 121 buah (seluruh negara)
d) Penerima Sepasang 'Uniform Silat Cekak' (10 Tahun Berkhidmat) : 50 orang.
e) Semua Tenaga Pengajar yang hadir menerima cenderahati Tali Pinggang (Bengkung) Merah daripda YM Guru Utama sempena program tersebut.
f) Majlis dimulai dengan bacaan Selawat Nabi dan diakhiri dengan nyanyian lagu Warisan Mutlak.
g) Cawangan Selangor : 84 orang (dilantik semula), 27 orang (tangguh) dan 4 orang (gugur).




Nyanyian Lagu Warisan Mutlak

16 June 2008

D.Y.M.M. Sultan Selangor



DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ
IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ

D.K.,D.M.N.,D.K.(Terengganu).,D.K.(Kelantan).,D.K.(Perak).,
D.K.(Perlis)., D.K.(Negeri Sembilan)., D.K.(Kedah).,S.P.M.S.,S.S.I.S.,S.P.M.J.


Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan
Serta Segala Daerah Takluknya


Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke 9 pada 22 November 2001 bersamaan dengan 6 Ramadhan Tahun 1422 Hijrah. Pemasyhuran Baginda adalah berikutan kemangkatan Padukan Ayahanda Baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada 21 November 2001. Baginda kemudiannya ditabal dan dimahkotakan dengan penuh Adat Istiadat Diraja di Balairung Seri,Istana Alam Shah, Klang dalam Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan pada 8 Mac 2003 bersamaan dengan 5 Muharram 1424 Hijrah.

Baginda adalah putera sulong D.Y.M.M. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Y.M.M Paduka Bonda Raja Selangor, Raja Saidatul Ihsan binti Tengku Badar Shah. Baginda diputerakan di Istana Jemaah, Klang yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang pada 24 Disember 1945. Pada September 1960 ketika Baginda berusia 15 tahun, Baginda telah diisytiharkan sebagai Raja Muda Selangor. Istiadat Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli sebagai Raja Muda ke 8 telah diadakan pada tahun 1970 di Istana Alam Shah.

Baginda telah dikurniakan dengan dua orang Puteri iaitu Y.A.M Tengku Zerafina dan Y.A.M Tengku Zatashah, dan seorang Putera, D.Y.T.M. Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor.

Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Raja Muda, Kuala Lumpur dan St.John Institution, Kuala Lumpur dari tahun 1954 hingga 1959. Pada tahun 1960, Baginda melanjutkan pelajaran ke Perth, Australia hingga tahun 1964 dan meneruskan pelajaran Baginda di England hingga ke tahun 1968. Pada tahun yang sama Baginda kembali ke tanah air dan berkhidmat di dalam Pentadbiran Kerajaan di mana perkhidmatan pertama Baginda di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Baginda juga pernah berkhidmat di Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan Jabatan Polis Diraja, Kuala Lumpur yang membolehkan Baginda memperolehi pengalaman dan pengetahuan yang begitu kuas di dalam bidang pentadbiran.

Baginda telah dilantik buat pertama kalinya sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Raja pada 23 Februari hingga 20 September 1969 semasa Paduka Ayahanda Baginda berangkat ke England. Baginda telah beberapa kali dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor dari masa ke semasa, dari tahun 1972 hingga tahun 1997. Pada 24 April 1999, Baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor sekali lagi apabila Paduka Ayahanda Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-11.

Baginda telah membuat beberapa lawatan rasmi ke Daerah-daerah untuk melihat pembangunan dan juga masalah-masalah setempat yang dihadapi oleh rakyat Baginda dan beramah mesra dengan mereka. Baginda juga telah beberapa kali merasmikan Mesyuarat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada tahun 1972, 1974, 1989, 1997, 2000, 2001, 2002, 2003, 2004 dan 2005.

Baginda telah dianugerahkan Darjah Kerabat (Yang Amat Dihormati) Selangor pada tahun 1973 dan Darjah Kebesaran Pertama, Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.) pada tahun 1975. Baginda juga telah dianugerahkan Darjah-Darjah Kerabat dari Negeri Terengganu, Kelantan, Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Kedah.

Baginda adalah pemegang pertama Darjah Kebesaran Dato' Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang Baginda zahirkan pada tahun 2002. Baginda telah dianugerahkan Darjah Kebesaran-Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa Pertabalan dan Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia sebagai Sultan Selangor ke 9 pada 8 Mac 2003.

Dalam bidang ketenteraan, Baginda telah ditauliahkan sebagai Mejar Kehormat Tentera Darat (Wataniah) Malaysia pada tahun 1974 dan Komander Kehormat Sukarelawan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia pada tahun 1998. Pada tahun 2002, Baginda telah dilantik sebagai Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia.

Baginda amat berminat di dalam aktiviti sukan termasuk sukan lasak seperti mendaki gunung, memandu kereta antik jarak jauh dan belayar mengelilingi dunia dengan kapal S.Y.JUGRA. Baginda mendapat pengiktirafan sebagai Putera Inspirasi dan banyak lagi pengiktirafan yang dianugerahkan kepada Baginda berkaitan dengan "maritime". Baginda dilantik sebagai Penaung kepada Persatuan-Persatuan Sukan dan Seni.

Hobi Baginda adalah membaca, belayar, fotografi, mengumpul setem serta sampul surat Hari Pertama, mengumpul "vintage cars" dan mengumpul senjata tradisi orang-orang Melayu. Pada 9 November 1998, Baginda telah berjaya melancarkan buku pertama Baginda iaitu "Peking to Paris". Pada tahun 1976, Baginda telah dilantik sebagai "Honorary Member Of The Philatelic Society" di Malaysia. Yayasan Antarabangsa Rotary telah menganugerahkan "Paul Harris Fellow" kepada Baginda. Pada tahun 1998, Baginda telah menerima anugerah tertinggi dari Persatuan Pengakap Malaysia iaitu "Pingat Semangat Padi". Pada tahun 1989, Baginda telah dilantik sebagai "Honorary Life Commodore" oleh Pelayaran Diraja Selangor "Royal Selangor Yacht Club". Baginda berminat di dalam bidang seni dan telah mengumpul banyak lukisan-lukisan tempatan dan Baginda telah dilantik sebagai Pengerusi Galeri Shah Alam pada tahun 1991. Pada tahun yang sama juga Baginda telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan. Pada 11 Mei 2000, Baginda telah dilantik sebagai "Fellow of The Chartered Institute Of Transport". Pada 25 Mei 2000, Baginda telah dilantik sebagai "Pro Canselor" UiTM dan pada 31 Mac 2001, Baginda telah dianugerahkan Darjah Kehormat Doktor Pentadbiran Awam. Pada 1 April 2002 Baginda telah dilantik sebagai Canselor Universiti Putra Malaysia.

Pencapaian tertinggi di dalam kegiatan sukan lasak ialah apabila nama Baginda telah terukir di dalam "Malaysia Book of Records" sebagai "The First To Sail Around The World" dan "The First To Complete Peking-Paris Motor Challenge"pada tahun 1998.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor adalah seorang insan yang peka di dalam perkembangan semasa. Baginda selalu memberi idea yang bernas di dalam mengatasi masalah-masalah kemanusiaan. Di dalam bidang agama pula Baginda sering bertitah di masjid-masjid menasihatkan rakyat jelata agar benar-benar mengikut ajaran Islam dengan penuh keyakinan. Baginda adalah seorang Raja yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kemajuan rakyat Baginda dalam semua bidang termasuklah ekonomi, sosial dan alam sekitar.
sumber :

15 June 2008

Mesyuarat Agung Perwakilan Kali Ke-36 PSSCM

Berita Bergambar
Tarikh : 8 Jun 2008
Masa : 8 pagi - 6 petang
Tempat : Auditorium Utama, Universiti Islam Antarabangsa, Gombak
Perwakilan Selangor :
01) SAIFUL ANWAR BIN YAHAYA

02) RUZY HAZAT @ ABDUR ROZAQ BIN IBRAHIM
03) DALIM BIN OTHMAN
04) ISA BIN SULAIMAN
05) YUFARDI DJAMILY BACHTIAR
06) SAIFUL AFFENDEE BIN MOHD RAIS
07) MOHD RIZAL BIN ABDUL RAHMAN
08) MOHD SANI BIN OSMAN
09) ADRI AMRUL BIN ARIFFIN
10) JOEHARY BIN ZAKARIA
11) JUNAIDI BIN JAMALUDIN
12) ZAINOL BIN SAIFUDDIN
13) MOHD HAIDZIR BIN GAZALEK
14) ZULHISHAM BIN ABDUL LATIP
15) MOHAMMAD RAZID BIN DIN
16) NASYARUDIN BIN ABU OSMAN
17) SUHAIMI BIN MOHD YUNAN
18) ZAINON BIN HASSAN
19) AZIZUL AZIM BIN ABD MUTALIB
20) SALMAN FARISI BIN SAMSUDIN


12 June 2008

Sejarah Penubuhan : Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok

Tanggal pada 13 Ogos 1987, satu perjumpaan yang pertama telah diadakan untuk membincangkan tentang penubuhan Persatuan Seni Silat Cekak di Universiti Utara Malaysia (UUM). Pada ketika itu, UUM masih lagi bertapak di kampus asalnya iaitu di Tanah Merah, Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah. Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Utara Malaysia (PSSCMUUM) berada di bawah penyeliaan En. Razak Mat merangkap YDP PSSCM Cawangan Kedah pada ketika itu.

Hanya pada 15 Januari 1988 barulah aktiviti PSSCMUUM dapat dijalankan setelah berjaya mengumpulkan seramai 52 orang. Majlis Ijazah Pertama telah dijalankan di Surau UUM dan diijazahkan oleh YM Guru Utama Ustaz Hj. Ishak B. Hj. Itam.

Kelas pertama telah dijalankan pada 19 Januari 1988 yang bertempat di Padang Bola Jaring UUM, Bandar Darul Aman setiap hari Jumaat dan Selasa pukul 9 malam hingga 11 malam.

Pada tahun 1990, UUM telah berpindah ke Kampus Induk baru yang terletak di Sintok. Keadaan Sintok pada ketika itu tidaklah seperti mana yang dapat dilihat sekarang. Keadaan yang terpencil, tiad ramai penduduk, tiada kemudahan air, elektrik serta telefon yang lengkap dan bekas jalan balah (jalan tanah merah). Tiada siapa yang berani ke Sintok pada waktu malam ketika itu. Perkembangan Silat Cekak tergendala seketika pada waktu itu kerana tiada jurulatih yang sanggup ke Sintok pada masa itu.

Akhirnya pihak pentadbiran PSSCM telah berjaya memujuk En. Md. Zain Shafie atau dikenali sebagai Pak Ngah di kalangan ahli, untuk menjadi jurulatih di UUM Sintok. Pak Ngah ketika itu tinggal di Pedu. Oleh kerana jarak antara Pedu dengan UUM sangat jauh maka Pak Ngah telah berpindah ke Taman Mahsuri, Jitra. Pada masa itu, Pak ngah tidak mempunyai pengalaman sebagai jurulatih. Berbagai masalah timbul sepanjang mengendalikan kelas di UUM.

Berbekalkan motosikal yang uzur, Pak Ngah berulang-alik dari Jitra ke UUM untuk menunaikan tanggungjawabnya melatih anak bangsa agar warisan yang sedia ada akan terus diwarisi. Disebabkan tiada jurulatih wanita, maka Puan Jama Bt. Hassan atau Mak Ngah iaitu isteri Pak Ngah sendiri sanggup memikul tanggungjawab itu. Mereka juga turut dibantu oleh Yahya (atau dikenali juga sebagai Pak Ya), serta Nassir Mahmud dan Ahmad Abd. Amit yang merupakan bekas penuntut IPT.Pada ketika itu ahli yang mempelajari silat cekak Cuma 28 orang sahaja. Begitulah antara cabaran-cabaran awal yang dihadapi oleh PSSCMUUM.

Pada mulanya, Kelas Latihan bertempat di padang Kompleks Sukan. Latihan bermula setiap hari Isnin dan Sabtu jam 5.00 petang hingga 7.00 malam. Selepas bermulanya peringkat kelas potong, maka waktu latihan telah diubah kepada sebelah malam. Kemudian, pada tahun 1993 Kelas Latihan telah dipindahkan ke Gelanggang Bola Tampar, Kolej Petronas. Latihan bermula pada pukul 9.00 malam hingga 11.00 malam setiap hari Selasa dan Sabtu. Kelas latihan tersebut terus digunakan sehingga ke hari ini.

Selepas permasalahan berkaitan dengan jurulatih selesai, PSSCMUUM menerima pula tekanan dar pihak Pentadbiran UUM. Timbalan Naib Canselor HEP pada ketika itu tidak suka kepada Silat Cekak kerana pada pandangan beliau ia bersifat perkauman. Rentetan daripad itu, segala aktiviti yang dilakukan sebelum ini telah digantung. Menurut polisi UUM tidak boleh wujud persatuan yang monokaum.

Pelbagai cara telah dilakukan oleh PSSCMUUM bagi membolehkan Silat Cekak terus dipelajari, namun gagal. Pihak atasan PSSCM telah berjumpa Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menjadi Menteri Pendidikan pada ketika itu. Setelah berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan, maka beliau dengan sendirinya telah meluluskan permohonan yang telah dibuat oleh pihak PSSCM. Atas arahan pihak Jabatan Pendidikan Malaysia dengan sokongan Menteri Pendidikan, pihak Universiti Utara Malaysia telah menarik balik pergantungan yang telah dibuat dan menjemput kembali PSSCM untuk kembali aktif meneruskan aktivitinya.

Tidak dapat dinafikan bahawa Pak Ngah merupakan orang yang penting dalam menaikkan PSSCM UUM sepertimana yang dapat dilihat dan dipelajari oleh penuntut UUM hari ini. Mak Ngah berhat dari menjadi jurulatih pada tahun 1993 dan pada tahun 1994, Pak Ngah pula berehat akibat sakit batu karang yang dihadapinya. Oleh hal yang demikian, Pak Ya telah mengambil alih tugas sebagai jurulatih di UUM selama 2 tahun sebelum masuk ke Maktab perguruan.

Kini tugas sebagai jurulatih dipikul pula oleh Encik Rosli b. Mansur atau dikenali sebagai Abang Chot dan dipantu oleh Encik Zulkifli Ahmad atau Pak Long. Pada tahun 1999 pula, PSSCMUUM bertambah ceria dengan kehadiran Tuan Haji Ghazali Abd. Rahman yang merupakan Naib Presiden 2 PSSCM dan juga bertugas sebagai Pensyarah di Sekolah Perbankan dan Kewangan Universiti Utara Malaysia.

Kehadiran tuan Haji Ghazali rupa-rupanya ada hikmah. Ini kerana mulai sesi akademik 1999/2000, PSSCMUUM akan diganti dengan pihak serpihan iaitu PSSCHM. Namun di atas tindakan segera yang telah dilakukan oleh Haji Ghazali, maka kemasukan mereka berjaya disekat. Dugaan itu kini telah memberi semangat dan peluang baru kepada PSSCMUUM, yang kini mempunyai aktiviti persatuan di bawah HEP dan yang terbaru mendapat pengiktirafan akedemik sebagai KO-K. Setelah gagal untuk memasuki UUM, PSSCHM menggunakan helah yang lain pula tetapi ia tidak berjaya dilaksanakan. Selain itu juga, PSSCMUUM juga merupakan badan persilatan utama di UUM. Pelbagai aktiviti utama persilatan telah dianjurkan. Namun persediaan harus dipertingkatkan lagi kerana cabaran yang akan datang mungkin lebih hebat lagi.

Pada tahun 2000, kelas kemahiran pertama telah berjaya diadakan. Pada mulanya seramai 40 orang yang mendaftar diri. Namun hanya tinggal 21 orang sahaja yang mengambil Ujian Sijil Rendah(USR) pada 1 Oktober yang telah dijalankan di Rumah Persatuan PSSCM Cawangan Kedah, Lorong Seri, Alor Setar. Semua 21 orang telah lulus USR dan menerima sijil pada 4 Februari 2001 di Universiti Sains Malaysia. Daripada jumlah tersebut yang mengambil USR terdapat 3 orang yang mendapat kepujian. Dari setahun ke setahun penglibatan ahli untuk mengambil USR semakin menggalakkan di mana kelas kemahiran kedua telah mengambil ujian tersebut yang diadakan di UiTM Arau pada bulan 08 Februari 2001 . Manakala penyampaian sijilnya pula telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 6 Oktober 2001. Kesemua yang mengambil Ujian Tersebut telah lulus dan seramai 6 orang yang mendapat kepujian.

Kini penglibatan jumlah ahli yang mengikuti kelas kemahiran dan telah mengambil USR telah bertambah. Pada 20 Julai 2002, seramai 40 orang ahli PSSCMUUM telah mengambil USR di mana UUM sendiri yang menjadi pusat ujian bagi zon Utara. Ia merupakan kelas kemahiran yang ketiga yang mengambil USR. Selain penglibatan dari UUM, ahli-ahli dari Zon Utara yang lain seperti UiTM Arau, cawangan Alor Setar dan Sungai Petani juga menyertai. Pada 2 Februari 2003 pula seramai 13 orang ahli PSSCM UUM iaitu merupakan kelas kemahiran yang keempat bagi UUM telah mengambil USR yang diadakan di Universiti Sains Malaysia. Ahli-ahli dari kelas kemahiran ketiga dan keempat yang telah mengambil USR akan menerima sijil masing-masing pada 19 Julai 2003 bertempat di Padang Indera Mahkota, Pahang Darul Makmur. (2003)


sumber : http://www.freewebs.com/psscm/Sejarah.html

09 June 2008

Semangat Sayang Bangsa

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

(Harian Metro 8 Jun 2008)

GOMBAK: Semangat sayangkan bangsa yang diterapkan dalam Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dan mahu mempelajari ilmu mempertahankan diri menarik minat ramai golongan muda terutama penuntut pusat pengajian tinggi (IPT) untuk menjadi pelapis meneruskan seni silat Melayu berkenaan.

Penuntut Pengurusan Pejabat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Nurul Aini Muzammil, 20, berkata matlamat persatuan yang mahu menyatupadukan orang Melayu menjadi tarikan utama untuknya menyertai PSSCM selepas membuat perbandingan dengan beberapa persatuan seni silat lain.

“Namun, paling penting ialah mempelajari ilmu mempertahankan diri. Bagi saya setiap wanita perlu ada ilmu mempertahankan diri terutama dalam keadaan sekarang.“Selepas dua tahun belajar silat cekak, banyak perubahan baru yang saya alami. Kini saya berasa lebih yakin dan berani kerana sudah belajar cara melindungi diri sendiri jika berhadapan dengan ancaman yang tidak disangka,” katanya.

Beliau bersama 738 rakan ahli PSSCM dari seluruh negara menerima sijil tamat kursus pada majlis Konvokesyen Silat Cekak bersempena sambutan 42 dan 43 tahun seni silat cekak Malaysia yang disampaikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini semalam. Hadir sama Presiden PSSCM, Ishak Itam.

Rakannya, Alhuda Kamarudin, 20, penuntut jurusan Kejuruteraan Awam bangga berpeluang menjadi ‘pewaris’ seni silat cekak yang pernah diamalkan panglima kerajaan Kedah pada zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II.

Selain itu, cara mempertahankan diri silat cekak yang menggunakan konsep berdiri, ringkas dan tidak banyak pergerakan itu sendiri dirasakan sesuai bagi wanita. Kaedah itu, katanya membolehkan wanita sentiasa dalam keadaan ‘bersedia’ dalam sebarang situasi.

Bagi penerima Sijil Cemerlang, Mazlan Mohd Noh, 21, penuntut Diploma Sains UiTM Jengka, PSSCM bukan sekadar membekalkan ilmu seni mempertahankan diri tetapi turut menekankan aspek agama termasuklah pergerakan silat cekak itu sendiri.

Perpaduan Melayu Terendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jun 2008 – Perpaduan orang Melayu kini berada pada tahap rendah kerana mereka kini tergolong dalam pelbagai organisasi yang mempunyai pandangan dan hala tuju berbeza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebanyakan mereka kini lebih suka membawa haluan sendiri dan tidak memiliki hala tuju yang spesifik berbanding masyarakat Melayu terdahulu.

“Keadaan itu menyebabkan banyak organisasi di luar lingkungan kita mula melontar beberapa pandangan yang dulunya relevan tetapi kini tidak lagi relevan, umpamanya dalam soal ketuanan Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis konvokesyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Malah, katanya, sejak kebelakangan ini terdapat banyak pihak yang mula mempertikaikan hak orang Melayu dan bumiputera walaupun perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Seandainya ada pihak mempertikaikan hak kita di negara ini, kita juga boleh mempersoalkan hak mereka. Tetapi ini tidak bermaksud kita menolak hak masyarakat lain yang ada di negara ini sebaliknya kita hanya mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan,” tegasnya.

Beliau berkata, semua pihak harus menghormati hak yang telah diberikan kepada mereka dan jangan sesekali mempertikaikan hak orang lain kerana ia mungkin akan menimbulkan isu perkauman.

“Kita tidak minta lebih, hanya mahu mengekalkan apa yang kita ada sahaja dan kita juga tidak mahu mengganggu hak orang lain,” ujarnya.

Ahmad Zahid juga menyeru semua pihak agar bersatu supaya dapat bersama-sama memartabatkan imej serta kebudayaan orang Melayu di negara ini.

“Sudah sampai waktunya kita bangkit dan bersatu demi memartabatkan ketuanan Melayu di tanah air kita serta mendapatkan kembali apa yang telah hilang,” tegasnya.
sumber (Utusan Malaysia 8 Jun 2008) :

Contohi Jati Diri Jepun - Muhammad Muhd Taib

GOMBAK - 7 Jun 2008 : Kehebatan jati diri bangsa Jepun yang berjaya memartabatkan negara itu hingga menguasai pelbagai bidang hingga ke peringkat antarabangsa boleh dijadikan teladan dan diikuti oleh rakyat negara ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata kekuatan orang Jepun pada hari ini hingga dipandang tinggi di peringkat antarabangsa lahir daripada jati diri mereka yang hebat.

Katanya, ini yang sedang diusahakan di negara ini dengan kerajaan menjadikan pembangunan modal insan sebagai fokus utama pembangunan bagi tempoh 50 tahun kedua mulai 2007 hingga 2057.

“Banyak bangsa di dunia ini tidak ada nilai budaya seperti Jepun. Orang Jepun menghantar pakar mereka ke seluruh dunia dan menyediakan budaya yang kukuh dari segi pengurusan masa, kejituan, kekukuhan, rangkaian, keberanian dan keupayaan.

“Mereka menyediakannya sejak begitu lama hingga mampu membuat kapal terbang pada 1940-an," katanya pada majlis makan malam perdana sempena Sambutan 42 dan 43 Tahun Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa di sini, malam tadi.

Beliau berkata, pembangunan 50 tahun kedua negara mengambil kira keupayaan pakar tempatan dalam pelbagai bidang baru seperti angkasa lepas, perundingan, ekonomi dan ketenteraan.

Katanya, silat juga mempunyai peranan penting untuk membina karektor sesebuah bangsa yang membolehkan mereka berani menawarkan khidmat di luar negara.


sumber (berita harian 8 Jun 2008) :
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20080608111201/Article/

Perpaduan Melayu Berada Di Tahap Paling Rendah - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Jun 2008 (Bernama) -- Perpaduan Melayu kini berada pada tahap paling rendah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Katanya ia berlaku kerana orang Melayu kini yang tergolong dalam pelbagai organisasi mempunyai pandangan dan halatuju yang berbeza-beza.

"Mereka tidak ada halatuju yang sama arah sepertimana dahulu, dan itu menyebabkan banyak organisasi di luar lingkungan kita mula melontar beberapa pandangan yang dulunya relevan tetapi kini tidak relevan lagi umpamanya soal ketuanan Melayu," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil konvokesyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini, Sabtu.

Menteri itu berkata mengenai soal ketuanan Melayu, orang Melayu sebenarnya tidak meminta lebih daripada apa yang terkandung dalam Perlembagaan atau berhasrat mengetepikan hak dan agama kaum lain.

Beliau berkata apabila orang Melayu menyuarakan kembali soal ketuanan Melayu, ada yang berpandangan seolah-olah orang Melayu mahu merampas hak orang lain sedangkan itu bukan hasratnya.

"Saya ingin tekankan kita tidak menolak (hak) bangsa dan agama lain tetapi cuma mahu hak kita dipertahankan," katanya.

Beliau berkata orang Melayu kini juga sudah kehilangan kuasa politik apabila terdapat penghakisan kuasa politik dan ia boleh dilihat dalam majoriti suara di Parlimen dan beberapa peristiwa yang berlaku di negeri Selangor dan Perak. Mengenai seni silat, beliau meminta persatuan silat bersama-sama berganding bahu menterjemahkan agenda dalam menyatupadukan ummah.

"Kita tahu setiap kaum ada kaedah seni mempertahankan diri tersendiri, ini bukan satu wadah untuk kita bertempur. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu mempertahankan rasa kecintaan terhadap negara," kata Ahmad Zahid.

Seramai 868 pelajar Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia menerima sijil masing-masing. Enam puluh orang daripada mereka adalah penerima sijil lulus dengan Kepujian.-- BERNAMA


sumber : http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=337970

02 June 2008

Malaysia Hari Ini TV3 - 29 Mei 2008



Prinsip Organisasi Berkualiti Menurut Silat Cekak

Oleh : Shukri Bin Janudin Berita Cekak, Bilangan 2, Jun 2003

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) merupakan sebuah persatuan seni silat Melayu yang memiliki ciri-ciri kedinamikan berdasarkan perkembangannya sejarahnya yang sahih dan sentiasa mengikuti arus semasa. Aspirasi ini sememangnya di dokong oleh pengasas PSSCM; Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad dan kini disambung oleh Tuan Haji Ishak Itam.

Sepanjang tahun 2003, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM 102.1 juta kepada lapan kementerian khusus bagi membantu menjayakan aktiviti badan-badan bukan kerajaan - Non Government Organisations (NGO's). Pihak NGO's yang terlibat dengan tugas-tugas kesukarelaan dan kebajikan termasuklah badan-badan silat perlu melihat peluang ini sebagai satu bonus yang dapat meningkatkan kegiatan belia di negara.

Menurut statistik tidak rasmi Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), terdapat kira-kira 3 juta pesilat di seluruh negara dengan 1.33 peratus atau 40 ribu daripadanya adalah ahli yang pernah mempelajari Silat Cekak. Jumlah ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Bumiputera-Islam seramai 11.7 juta orang atau 50 peratus daripada keseluruhan 23.4 juta penduduk Malaysia.

Kerajaan terutamanya melalui Kementerian Belia dan Sukan sentiasa menyalurkan bantuan kepada semua persatuan yang berperanan aktif di dalam memartabatkan kegiatan sukan dan belia di seluruh negara. Justeru, para belia Malaysia yang memiliki 'kekuatan' 49 peratus dari jumlah penduduk negara harus merebut peluang ini. Malah, Silat Cekak sememangnya telah lama menyokong segala aspirasi kerajaan menggalakkan kegiatan seni silat untuk melahirkan belia yang bersifat nasionalisme dan patriotisme.

Sehingga akhir 2002, terdapat sejumlah 33,530 buah badan induk NGO's di Malaysia dengan jumlah cawangan sebanyak 62,118 buah. Majoritinya terdiri dari cawangan-cawangan parti politik dan Sabah adalah negeri terbanyak mempunyai NGO's. PSSCM sebagai NGO yang tidak berorientasikan politik pula telah berjaya membuka 110 buah kelas di seluruh negara.

Namun, kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan semua pihak sama ada ahli-ahli persatuan ataupun sokongan pihak kerajaan dan badan-badan swasta. Kejayaan PSSCM telah didasari oleh semangat persaudaraan selain dari kecekapan kepimpinan dan sistem tadbir-urus dalaman persatuan itu sendiri. Terdapat beberapa kriteria (measurement) pengurusan yang akan menentukan kejayaan PSSCM di masa akan datang.

Pertama, 'MANPOWER' atau sumber manusia. Faktor ini memberikan kekuatan kepada persatuan untuk menjalan segala aktivitinya dengan lancar melalui penyertaan masyarakat di dalam PSSCM dan segala aktivitinya. Penyertaan ini haruslah berdasarkan komitmen dan penerimaan setiap ahli terhadap setiap cabang kepimpinan di peringkat pusat, negeri serta IPTA/S. Seterusnya kesetiaan ini haruslah bersifat kekal (maintain) agar setiap ahli lama dan baru mampu berganding bahu menyemarakkan aktiviti Silat Cekak. Justeru, setiap ahli harus berpegang kepada prinsip berjasa kepada persatuan bukannya meminta dan mengharapkan balasan dari persatuan setelah berbakti. Secara langsung konsep ikhlas mampu dilahirkan.

Kedua, 'MONEY' atau wang. Faktor ini merupakan aspek terpenting sesebuah organisasi untuk menjalankan kegiatannya. Sebagai sebuah NGO's yang tidak berorientasikan keuntungan dan perniagaan, PSSCM mengharapkan sumbangan yang berterusan dari pihak kerajaan dan swasta serta ahlinya untuk menaja kegiatan persatuan. Kekukuhan sumber kewangan banyak menentukan kesinambungan sesebuah organisasi. Reputasi yang baik, keaktifan menjalankan program serta jumlah ahli yang ramai dapat meyakinkan pihak kerajaan memberikan bantuan sewajarnya kepada sesebuah organisasi.

Ketiga 'MANAGEMENT' atau pengurusan. Faktor ini meliputi aspek tadbir-urus (govern) sesebuah organisasi. Kecekapan, ketelusan, responsive terhadap dasar semasa kerajaan dan aspirasi ahli-ahli serta bersedia mengadaptasi segala perkembangan semasa menjadi kriteria utama yang akan meningkatkan reputasi dan penyertaan masyarakat terhadap sesebuah organisasi. Para ahli akan bersikap berpuas hati dan gembira jika pihak pengurusan organisasi sentiasa melakukan pembaharuan dan bijak menambat hati para ahli melalui aktivitinya. Dengan ini semangat kekitaan dan persaudaraan dapat diwujudkan.

Keempat 'MEDIA'. Umumnya terdapat dua bentuk media iaitu media massa dan media elektronik. Kedua-duanya merupakan medium yang amat berkesan di dalam menyampaikan mesej dan imej kepada masyarakat masa kini. Perkembangan ICT memperlihatkan penguasaan media dapat membantu meningkatkan reputasi dan promosi terhadap sesebuah organisasi melalui penyebaran maklumat. Sewajarnya setiap organisasi perlu mempertingkatkan kemudahan dan kelebihan teknologi semasa seperti laman web untuk berdaya saing.

Kelima 'METHOD' atau kaedah. Bagi PSSCM, ini meliputi pelbagai aspek kaedah perancangan, pengurusan, pengarahan, penyeliaan dan pengawalan segala aspek pentadbiran dan kewangan, kaedah penyampaian mesej kepada ahli sama ada secara verbal, cetakan atau ICT; kaedah mengekalkan penglibatan ahli; kaedah pengurusan konflik; kaedah menanamkan kefahaman terhadap perjuangan Silat Cekak, pengiktirafan Silat Cekak sebagai ko-kurikulum dan sebagainya. Kaedah-kaedah ini haruslah bersifat terkini dan boleh disesuaikan (practical) dengan matlamat dan perjuangan Silat Cekak.

Keenam 'MECHANISM' atau mekanisme. Ini merupakan medium yang perlu dieksploitasi sepenuhnya oleh PSSCM untuk meningkatkan penyertaan para belia Melayu-Islam ke dalam Silat Cekak. Melalui institusi yang kukuh seperti persatuan, kelab, PESAKA, Rakan Muda, institusi pengajian negara seperti sekolah, kolej, maktab dan IPTA/S, Silat Cekak mampu berkembang pesat. Namun, ia haruslah bersesuaian dengan segala peraturan yang mendokongi dan didokongi institusi tersebut.

Ketujuh 'MATERIAL' atau peralatan. Peralatan ini merangkumi segala kemudahan yang dimiliki oleh sesebuah organisasi bagi memudahkan ia menjalankan aktivitinya. Ini termasuklah institusi yang lengkap dengan kemudahan seperti rumah persatuan di peringkat pusat, setiap cawangan negeri, daerah dan institusi pengajian negara. Peralatan juga termasuk segala kemudahan yang boleh disediakan atau dimiliki dengan mudah sekiranya ia diperlukan seperti peralatan pejabat, audio-video, pengangkutan, penginapan dan sebagainya bagi menjayakan segala aktiviti persatuan.

Kesimpulannya, sesebuah organisasi perlu bersedia melaksanakan pembaharuan di dalam segenap aspek pengurusan dan pentadbirannya demi meningkatkan reputasi dan penyertaan masyarakat ke dalam organisasinya. Malah, setiap organisasi yang ingin berkembang maju harus memanipulasikan segala masalahnya sebagai cabaran. Manakala setiap peluang perlu dieksploitasi sebaik mungkin untuk meningkatkan kualiti organisasi di dalam membangunkan masyarakat dan negara. (BC)

Sumber : http://silatcekak.org/arkib/artikel/prinsip.html