Jejak Warisan Jawi II

02 June 2008

Prinsip Organisasi Berkualiti Menurut Silat Cekak

Oleh : Shukri Bin Janudin Berita Cekak, Bilangan 2, Jun 2003

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) merupakan sebuah persatuan seni silat Melayu yang memiliki ciri-ciri kedinamikan berdasarkan perkembangannya sejarahnya yang sahih dan sentiasa mengikuti arus semasa. Aspirasi ini sememangnya di dokong oleh pengasas PSSCM; Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad dan kini disambung oleh Tuan Haji Ishak Itam.

Sepanjang tahun 2003, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM 102.1 juta kepada lapan kementerian khusus bagi membantu menjayakan aktiviti badan-badan bukan kerajaan - Non Government Organisations (NGO's). Pihak NGO's yang terlibat dengan tugas-tugas kesukarelaan dan kebajikan termasuklah badan-badan silat perlu melihat peluang ini sebagai satu bonus yang dapat meningkatkan kegiatan belia di negara.

Menurut statistik tidak rasmi Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), terdapat kira-kira 3 juta pesilat di seluruh negara dengan 1.33 peratus atau 40 ribu daripadanya adalah ahli yang pernah mempelajari Silat Cekak. Jumlah ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Bumiputera-Islam seramai 11.7 juta orang atau 50 peratus daripada keseluruhan 23.4 juta penduduk Malaysia.

Kerajaan terutamanya melalui Kementerian Belia dan Sukan sentiasa menyalurkan bantuan kepada semua persatuan yang berperanan aktif di dalam memartabatkan kegiatan sukan dan belia di seluruh negara. Justeru, para belia Malaysia yang memiliki 'kekuatan' 49 peratus dari jumlah penduduk negara harus merebut peluang ini. Malah, Silat Cekak sememangnya telah lama menyokong segala aspirasi kerajaan menggalakkan kegiatan seni silat untuk melahirkan belia yang bersifat nasionalisme dan patriotisme.

Sehingga akhir 2002, terdapat sejumlah 33,530 buah badan induk NGO's di Malaysia dengan jumlah cawangan sebanyak 62,118 buah. Majoritinya terdiri dari cawangan-cawangan parti politik dan Sabah adalah negeri terbanyak mempunyai NGO's. PSSCM sebagai NGO yang tidak berorientasikan politik pula telah berjaya membuka 110 buah kelas di seluruh negara.

Namun, kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan semua pihak sama ada ahli-ahli persatuan ataupun sokongan pihak kerajaan dan badan-badan swasta. Kejayaan PSSCM telah didasari oleh semangat persaudaraan selain dari kecekapan kepimpinan dan sistem tadbir-urus dalaman persatuan itu sendiri. Terdapat beberapa kriteria (measurement) pengurusan yang akan menentukan kejayaan PSSCM di masa akan datang.

Pertama, 'MANPOWER' atau sumber manusia. Faktor ini memberikan kekuatan kepada persatuan untuk menjalan segala aktivitinya dengan lancar melalui penyertaan masyarakat di dalam PSSCM dan segala aktivitinya. Penyertaan ini haruslah berdasarkan komitmen dan penerimaan setiap ahli terhadap setiap cabang kepimpinan di peringkat pusat, negeri serta IPTA/S. Seterusnya kesetiaan ini haruslah bersifat kekal (maintain) agar setiap ahli lama dan baru mampu berganding bahu menyemarakkan aktiviti Silat Cekak. Justeru, setiap ahli harus berpegang kepada prinsip berjasa kepada persatuan bukannya meminta dan mengharapkan balasan dari persatuan setelah berbakti. Secara langsung konsep ikhlas mampu dilahirkan.

Kedua, 'MONEY' atau wang. Faktor ini merupakan aspek terpenting sesebuah organisasi untuk menjalankan kegiatannya. Sebagai sebuah NGO's yang tidak berorientasikan keuntungan dan perniagaan, PSSCM mengharapkan sumbangan yang berterusan dari pihak kerajaan dan swasta serta ahlinya untuk menaja kegiatan persatuan. Kekukuhan sumber kewangan banyak menentukan kesinambungan sesebuah organisasi. Reputasi yang baik, keaktifan menjalankan program serta jumlah ahli yang ramai dapat meyakinkan pihak kerajaan memberikan bantuan sewajarnya kepada sesebuah organisasi.

Ketiga 'MANAGEMENT' atau pengurusan. Faktor ini meliputi aspek tadbir-urus (govern) sesebuah organisasi. Kecekapan, ketelusan, responsive terhadap dasar semasa kerajaan dan aspirasi ahli-ahli serta bersedia mengadaptasi segala perkembangan semasa menjadi kriteria utama yang akan meningkatkan reputasi dan penyertaan masyarakat terhadap sesebuah organisasi. Para ahli akan bersikap berpuas hati dan gembira jika pihak pengurusan organisasi sentiasa melakukan pembaharuan dan bijak menambat hati para ahli melalui aktivitinya. Dengan ini semangat kekitaan dan persaudaraan dapat diwujudkan.

Keempat 'MEDIA'. Umumnya terdapat dua bentuk media iaitu media massa dan media elektronik. Kedua-duanya merupakan medium yang amat berkesan di dalam menyampaikan mesej dan imej kepada masyarakat masa kini. Perkembangan ICT memperlihatkan penguasaan media dapat membantu meningkatkan reputasi dan promosi terhadap sesebuah organisasi melalui penyebaran maklumat. Sewajarnya setiap organisasi perlu mempertingkatkan kemudahan dan kelebihan teknologi semasa seperti laman web untuk berdaya saing.

Kelima 'METHOD' atau kaedah. Bagi PSSCM, ini meliputi pelbagai aspek kaedah perancangan, pengurusan, pengarahan, penyeliaan dan pengawalan segala aspek pentadbiran dan kewangan, kaedah penyampaian mesej kepada ahli sama ada secara verbal, cetakan atau ICT; kaedah mengekalkan penglibatan ahli; kaedah pengurusan konflik; kaedah menanamkan kefahaman terhadap perjuangan Silat Cekak, pengiktirafan Silat Cekak sebagai ko-kurikulum dan sebagainya. Kaedah-kaedah ini haruslah bersifat terkini dan boleh disesuaikan (practical) dengan matlamat dan perjuangan Silat Cekak.

Keenam 'MECHANISM' atau mekanisme. Ini merupakan medium yang perlu dieksploitasi sepenuhnya oleh PSSCM untuk meningkatkan penyertaan para belia Melayu-Islam ke dalam Silat Cekak. Melalui institusi yang kukuh seperti persatuan, kelab, PESAKA, Rakan Muda, institusi pengajian negara seperti sekolah, kolej, maktab dan IPTA/S, Silat Cekak mampu berkembang pesat. Namun, ia haruslah bersesuaian dengan segala peraturan yang mendokongi dan didokongi institusi tersebut.

Ketujuh 'MATERIAL' atau peralatan. Peralatan ini merangkumi segala kemudahan yang dimiliki oleh sesebuah organisasi bagi memudahkan ia menjalankan aktivitinya. Ini termasuklah institusi yang lengkap dengan kemudahan seperti rumah persatuan di peringkat pusat, setiap cawangan negeri, daerah dan institusi pengajian negara. Peralatan juga termasuk segala kemudahan yang boleh disediakan atau dimiliki dengan mudah sekiranya ia diperlukan seperti peralatan pejabat, audio-video, pengangkutan, penginapan dan sebagainya bagi menjayakan segala aktiviti persatuan.

Kesimpulannya, sesebuah organisasi perlu bersedia melaksanakan pembaharuan di dalam segenap aspek pengurusan dan pentadbirannya demi meningkatkan reputasi dan penyertaan masyarakat ke dalam organisasinya. Malah, setiap organisasi yang ingin berkembang maju harus memanipulasikan segala masalahnya sebagai cabaran. Manakala setiap peluang perlu dieksploitasi sebaik mungkin untuk meningkatkan kualiti organisasi di dalam membangunkan masyarakat dan negara. (BC)

Sumber : http://silatcekak.org/arkib/artikel/prinsip.html

0 komentar: