Jejak Warisan Jawi II

21 June 2008

Piala FA - Selangor Turun Barisan Terbaik

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my




ZAKARIA (dua dari kanan) dan Dollah (tiga dari kanan) mengetuai majlis pemotongan kek bersama ahli-ahli Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor di Kelana Jaya semalam.



PERLAWANAN akhir Piala FA 2007/08 di Stadium Shah Alam malam ini bakal menampilkan kesebelasan terbaik skuad Selangor dalam usaha mereka menyekat Kedah daripada mempertahankan kejuaraan tersebut. ZAKARIA (dua dari kanan) dan Dollah (tiga dari kanan) mengetuai majlis pemotongan kek bersama ahli-ahli Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor di Kelana Jaya semalam.

Pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim melaungkan keyakinan itu berdasarkan semangat dan kesungguhan pemain Red Giants sepanjang sesi latihan sejak Khamis lalu.

"Semua pemain saya dilihat begitu bersemangat, bertenaga dan mereka sudah tidak sabar untuk turun beraksi. Saya gembira melihat suasana begini.

"Lagipun, ramai yang belum pernah merasai aksi akhir Piala FA, cuma lima pemain yang beraksi dalam final 2005 masih berada dalam pasukan iaitu Shukor Adan, P. Gunalan, D. Surendran, Amri Yahyah dan Elie Aiboy," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya kesebelasan yang bakal diturunkan malam ini, Zakaria masih berteka-teki untuk meletakkan siapa yang akan beraksi kerana katanya ia hanya akan ditentukan empat jam sebelum perlawanan iaitu ketika mesyuarat pasukan petang ini.

"Walaupun D. Surendran digantung perlawanan, kita ada banyak pilihan. Cuma Razman Roslan masih mengalami kesakitan di bawah perut selepas perlawanan Selasa lalu.

"Saya dan jurulatih (Dollah Salleh) akan memilih mereka yang terbaik untuk beraksi esok (malam ini). Mungkin kita akan letak Amri Yahyah sama ada sebagai penyerang atau bek kanan, tengoklah nanti," jelas Zakaria.

Mohd. Suffian Abdul Rahman sudah pasti diberi tanggungjawab mengawal pintu gol Selangor sambil posisi pertahanan menjadi rebutan Evans Chisulo, Nasriq Baharom, Razman Roslan, Asraruddin Putra Omar, P. Gunalan dan Abdul Ghani Rahman.

Di barisan tengah, Shukor Adan, Elie Aiboy, Amirul Hadi Zainal, R. Surendran, Indra Putra Mahayuddin dan Safiq Rahim pasti berusaha mendapatkan tempat manakala posisi serangan menjadi rebutan antara Safee Sali, Amri Yahyah, Frank Seator dan Akmal Rizal Rakhli.

Andai dapat mengatasi Kedah malam ini, Selangor bakal menjulang trofi Piala FA buat kali kelima dan lebih menarik, ia juga bakal menjadi piala pertama dijulang Zakaria selepas baru 21 hari dilantik sebagai pengurus pasukan.

0 komentar: