Jejak Warisan Jawi II

12 June 2008

Sejarah Penubuhan : Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok

Tanggal pada 13 Ogos 1987, satu perjumpaan yang pertama telah diadakan untuk membincangkan tentang penubuhan Persatuan Seni Silat Cekak di Universiti Utara Malaysia (UUM). Pada ketika itu, UUM masih lagi bertapak di kampus asalnya iaitu di Tanah Merah, Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah. Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Utara Malaysia (PSSCMUUM) berada di bawah penyeliaan En. Razak Mat merangkap YDP PSSCM Cawangan Kedah pada ketika itu.

Hanya pada 15 Januari 1988 barulah aktiviti PSSCMUUM dapat dijalankan setelah berjaya mengumpulkan seramai 52 orang. Majlis Ijazah Pertama telah dijalankan di Surau UUM dan diijazahkan oleh YM Guru Utama Ustaz Hj. Ishak B. Hj. Itam.

Kelas pertama telah dijalankan pada 19 Januari 1988 yang bertempat di Padang Bola Jaring UUM, Bandar Darul Aman setiap hari Jumaat dan Selasa pukul 9 malam hingga 11 malam.

Pada tahun 1990, UUM telah berpindah ke Kampus Induk baru yang terletak di Sintok. Keadaan Sintok pada ketika itu tidaklah seperti mana yang dapat dilihat sekarang. Keadaan yang terpencil, tiad ramai penduduk, tiada kemudahan air, elektrik serta telefon yang lengkap dan bekas jalan balah (jalan tanah merah). Tiada siapa yang berani ke Sintok pada waktu malam ketika itu. Perkembangan Silat Cekak tergendala seketika pada waktu itu kerana tiada jurulatih yang sanggup ke Sintok pada masa itu.

Akhirnya pihak pentadbiran PSSCM telah berjaya memujuk En. Md. Zain Shafie atau dikenali sebagai Pak Ngah di kalangan ahli, untuk menjadi jurulatih di UUM Sintok. Pak Ngah ketika itu tinggal di Pedu. Oleh kerana jarak antara Pedu dengan UUM sangat jauh maka Pak Ngah telah berpindah ke Taman Mahsuri, Jitra. Pada masa itu, Pak ngah tidak mempunyai pengalaman sebagai jurulatih. Berbagai masalah timbul sepanjang mengendalikan kelas di UUM.

Berbekalkan motosikal yang uzur, Pak Ngah berulang-alik dari Jitra ke UUM untuk menunaikan tanggungjawabnya melatih anak bangsa agar warisan yang sedia ada akan terus diwarisi. Disebabkan tiada jurulatih wanita, maka Puan Jama Bt. Hassan atau Mak Ngah iaitu isteri Pak Ngah sendiri sanggup memikul tanggungjawab itu. Mereka juga turut dibantu oleh Yahya (atau dikenali juga sebagai Pak Ya), serta Nassir Mahmud dan Ahmad Abd. Amit yang merupakan bekas penuntut IPT.Pada ketika itu ahli yang mempelajari silat cekak Cuma 28 orang sahaja. Begitulah antara cabaran-cabaran awal yang dihadapi oleh PSSCMUUM.

Pada mulanya, Kelas Latihan bertempat di padang Kompleks Sukan. Latihan bermula setiap hari Isnin dan Sabtu jam 5.00 petang hingga 7.00 malam. Selepas bermulanya peringkat kelas potong, maka waktu latihan telah diubah kepada sebelah malam. Kemudian, pada tahun 1993 Kelas Latihan telah dipindahkan ke Gelanggang Bola Tampar, Kolej Petronas. Latihan bermula pada pukul 9.00 malam hingga 11.00 malam setiap hari Selasa dan Sabtu. Kelas latihan tersebut terus digunakan sehingga ke hari ini.

Selepas permasalahan berkaitan dengan jurulatih selesai, PSSCMUUM menerima pula tekanan dar pihak Pentadbiran UUM. Timbalan Naib Canselor HEP pada ketika itu tidak suka kepada Silat Cekak kerana pada pandangan beliau ia bersifat perkauman. Rentetan daripad itu, segala aktiviti yang dilakukan sebelum ini telah digantung. Menurut polisi UUM tidak boleh wujud persatuan yang monokaum.

Pelbagai cara telah dilakukan oleh PSSCMUUM bagi membolehkan Silat Cekak terus dipelajari, namun gagal. Pihak atasan PSSCM telah berjumpa Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menjadi Menteri Pendidikan pada ketika itu. Setelah berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan, maka beliau dengan sendirinya telah meluluskan permohonan yang telah dibuat oleh pihak PSSCM. Atas arahan pihak Jabatan Pendidikan Malaysia dengan sokongan Menteri Pendidikan, pihak Universiti Utara Malaysia telah menarik balik pergantungan yang telah dibuat dan menjemput kembali PSSCM untuk kembali aktif meneruskan aktivitinya.

Tidak dapat dinafikan bahawa Pak Ngah merupakan orang yang penting dalam menaikkan PSSCM UUM sepertimana yang dapat dilihat dan dipelajari oleh penuntut UUM hari ini. Mak Ngah berhat dari menjadi jurulatih pada tahun 1993 dan pada tahun 1994, Pak Ngah pula berehat akibat sakit batu karang yang dihadapinya. Oleh hal yang demikian, Pak Ya telah mengambil alih tugas sebagai jurulatih di UUM selama 2 tahun sebelum masuk ke Maktab perguruan.

Kini tugas sebagai jurulatih dipikul pula oleh Encik Rosli b. Mansur atau dikenali sebagai Abang Chot dan dipantu oleh Encik Zulkifli Ahmad atau Pak Long. Pada tahun 1999 pula, PSSCMUUM bertambah ceria dengan kehadiran Tuan Haji Ghazali Abd. Rahman yang merupakan Naib Presiden 2 PSSCM dan juga bertugas sebagai Pensyarah di Sekolah Perbankan dan Kewangan Universiti Utara Malaysia.

Kehadiran tuan Haji Ghazali rupa-rupanya ada hikmah. Ini kerana mulai sesi akademik 1999/2000, PSSCMUUM akan diganti dengan pihak serpihan iaitu PSSCHM. Namun di atas tindakan segera yang telah dilakukan oleh Haji Ghazali, maka kemasukan mereka berjaya disekat. Dugaan itu kini telah memberi semangat dan peluang baru kepada PSSCMUUM, yang kini mempunyai aktiviti persatuan di bawah HEP dan yang terbaru mendapat pengiktirafan akedemik sebagai KO-K. Setelah gagal untuk memasuki UUM, PSSCHM menggunakan helah yang lain pula tetapi ia tidak berjaya dilaksanakan. Selain itu juga, PSSCMUUM juga merupakan badan persilatan utama di UUM. Pelbagai aktiviti utama persilatan telah dianjurkan. Namun persediaan harus dipertingkatkan lagi kerana cabaran yang akan datang mungkin lebih hebat lagi.

Pada tahun 2000, kelas kemahiran pertama telah berjaya diadakan. Pada mulanya seramai 40 orang yang mendaftar diri. Namun hanya tinggal 21 orang sahaja yang mengambil Ujian Sijil Rendah(USR) pada 1 Oktober yang telah dijalankan di Rumah Persatuan PSSCM Cawangan Kedah, Lorong Seri, Alor Setar. Semua 21 orang telah lulus USR dan menerima sijil pada 4 Februari 2001 di Universiti Sains Malaysia. Daripada jumlah tersebut yang mengambil USR terdapat 3 orang yang mendapat kepujian. Dari setahun ke setahun penglibatan ahli untuk mengambil USR semakin menggalakkan di mana kelas kemahiran kedua telah mengambil ujian tersebut yang diadakan di UiTM Arau pada bulan 08 Februari 2001 . Manakala penyampaian sijilnya pula telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 6 Oktober 2001. Kesemua yang mengambil Ujian Tersebut telah lulus dan seramai 6 orang yang mendapat kepujian.

Kini penglibatan jumlah ahli yang mengikuti kelas kemahiran dan telah mengambil USR telah bertambah. Pada 20 Julai 2002, seramai 40 orang ahli PSSCMUUM telah mengambil USR di mana UUM sendiri yang menjadi pusat ujian bagi zon Utara. Ia merupakan kelas kemahiran yang ketiga yang mengambil USR. Selain penglibatan dari UUM, ahli-ahli dari Zon Utara yang lain seperti UiTM Arau, cawangan Alor Setar dan Sungai Petani juga menyertai. Pada 2 Februari 2003 pula seramai 13 orang ahli PSSCM UUM iaitu merupakan kelas kemahiran yang keempat bagi UUM telah mengambil USR yang diadakan di Universiti Sains Malaysia. Ahli-ahli dari kelas kemahiran ketiga dan keempat yang telah mengambil USR akan menerima sijil masing-masing pada 19 Julai 2003 bertempat di Padang Indera Mahkota, Pahang Darul Makmur. (2003)


sumber : http://www.freewebs.com/psscm/Sejarah.html

0 komentar: