Jejak Warisan Jawi II

22 August 2008

Final Piala Malaysia: Mampukah 'Giant' baham 'Sang Kenari' esok?

Oleh BH, Utusan
Jumaat, 22 Ogos 2008


DUA penampilan dalam perlawanan akhir sebelum ini berakhir dengan kejayaan menjulang kejuaraan Piala Malaysia, dan kapten Selangor, Shukor Adan mengharapkan kemunculan ketiganya apabila berdepan Kedah Sabtu ini, turut berakhir dengan kejayaan buat Selangor.

Namun, pemain kelahiran Masjid Tanah itu mengakui terdapat perbezaan dalam skuad Selangor kini berbanding ketika dia bersama barisan Merah Kuning yang muncul juara pada 2002 dan 2005.

"Ketika musim 2002, Selangor ketika itu dibarisi pemain berpengalaman seperti Azman Adnan, Lim Chan Yew dan Azmin Azram Aziz manakala skuad 2005 diwakili pemain yang bermain sebagai satu unit serta kehadiran pemain import mantap seperti Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes.

"Pada musim 2005 juga, kami berada di tahap terbaik selepas menjuarai Liga Perdana dan Piala FA, sekali gus memberi keyakinan tinggi kepada pemain menjelang final bertemu Perlis.

"Aksi perlawanan akhir kali ini pula memberi cabaran berbeza kepada pemain, kerana selepas gagal dalam saingan Liga Super dan Piala FA, ini adalah peluang terakhir kami menamatkan musim ini dengan kejayaan untuk dihadiahkan kepada penyokong kami," kata Shukor.

Shukor bertekad mahu memastikan aksi ketiga bersama Selangor di final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, berakhir dengan kejayaan, malah berasa barisan pemain kali ini turut mempunyai keistimewaan tersendiri.

Baginya, walaupun Kedah kelihatan mantap sepanjang musim, dia tetap yakin skuad Dollah Salleh kali ini mampu mencapai prestasi kemuncak kerana setiap pemain tahu betapa besar erti kejayaan Piala Malaysia buat Selangor kali ini.

"Masih terdapat beberapa pemain seperti Elie (Aiboy), Amri (Yahyah), D Surendran dan Razman (Roslan) dari skuad 2005, dan pemain muda seperti Asraruddin (Putra Omar) dan Amirulhadi (Zainal) kini semakin matang.

"Ini adalah keistimewaan skuad kali ini kerana jurulatih menggabungkan pemain berpengalaman dan beberapa pemain muda yang berpotensi. Kedah mungkin pasukan pilihan, tetapi Piala Malaysia adalah pertandingan berbeza.

"Ia sentiasa membuatkan Selangor melonjak ke aksi terbaik, walaupun di atas kertas Kedah kelihatan lebih kuat, sejarah Piala Malaysia sebelum ini pernah membuktikannya ia berakhir sebaliknya," kata Shukor.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan mula membuka kaunter jualan tiket final itu di Stadium Shah Alam hari ini hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 7 petang bagi memudahkan penyokong Selangor membeli tiket.

Utusan pula melaporkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli terpaksa melupakan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Kedah, Sabtu ini gara-gara kecederaan lama lutut kanannya yang berulang.

Sudahlah kempunan menjulang Piala FA, Mei lalu dan hanya mampu memanaskan bangku simpanan, aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil ini pula sekadar dapat ditontonnya sebagai pemerhati dari luar padang apatah lagi dengan menentang negeri kelahirannya.

"Cukup hampa kerana sepatutnya inilah perlawanan akhir Piala Malaysia pertama saya setelah tidak berpeluang turun ketika Selangor kalah Piala FA. Saya tercedera sejak separuh akhir pertama di Shah Alam lalu," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Akmal Rizal yang kerap turun selaku penyerang gantian minit akhir dengan berjersi nombor 14 Gergasi Merah, pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan pada bahagian yang pernah dibedah itu memerlukan pemulihan selama dua minggu lagi.

"Walaupun tidak dapat bermain, saya tetap mendoakan kejayaan buat pasukan Selangor kerana sebagai pemain simpanan pun, saya tetap akan beroleh pingat kejuaraan jika kami menewaskan Kedah," katanya yang masih menjalani senaman ringan di gimnasium.

Mengenai pertembungan bagi edisi pertandingan ke-82 ini, katanya, "peluangnya 50-50 kepada kedua-dua pasukan. Tiada kelebihan gelanggang sendiri walaupun Selangor lebih dekat dengan Bukit Jalil malah ketika Piala FA di Shah Alam, Kedah memiliki sejumlah besar penyokongnya.

"Saya ramalkan 90 minit perlawanan ini sudah cukup menentukan siapa juara," katanya yang menyedari ketiadaannya di padang pasti dialu-alukan penyokong Hijau Kuning yang lantang mengejeknya ketika menentang Selangor di Stadium Shah Alam dalam perlawanan Liga Super musim ini.

"Itu lumrah peminat bola sepak. Mereka mungkin tidak faham bukan saya yang tinggalkan atau membelakangkan Kedah tetapi kontrak saya yang ditamatkan dan sebagai pemain profesional, saya perlu mencari haluan baru karier saya," kata anak jati Jitra, Kedah ini yang menyertai Selangor mulai musim 2006-2007.

Sepanjang Liga Malaysia musim ini, Akmal Rizal yang kali terakhir mewakili skuad negara menentang Indonesia di Surabaya, Jun lalu, telah menjaringkan 10 gol iaitu lima bagi Liga Super, tiga dalam Piala FA dan hanya dua ketika Piala Malaysia yang bermula pada 11 Jun lalu.

Namun skuad Merah Kuning masih tidak ketandusan penyerang selain Frank Seator dan Safee Sali dalam kesebelasan utama kerana S. Sritharan, Fadzli Saari, Indra Putra Mahayuddin dan R. Surendren mahupun Amri Yahyah mampu merobek gawang Kedah kawalan Helmi Eliza Elias.

0 komentar: