Jejak Warisan Jawi II

02 November 2009

Buku-buku Berkaitan Kitab Al-Hikam


Al Hikam Induk Hikmah
Keluaran: Thinkers Library
Oleh: Syeikh Ibn ‘Athaillah As-Sakandari ra
Halaman: 136 mukasurat




Matan 1:
Di antara tanda-tanda sifat mengutamakan amal sendiri ialah kurangnya pengharapan terhadap rahmat Allah swt ketika melakukan kesalahan.

Syarah (Keterangan):
Ada orang bersandar kepada amalnya untuk membolehkan memasuki syurga atau merasa selamat dari seksa Allah swt. Ada pula yang menyandarkan diri kepada amalnya untuk boleh (sampai) pada Allah swt dan menyingkap hijab hati. Menurut pengarang, keduanya adalah tercela, kerana timbul dari nafsu yang menganggap bahawa amal itu datangnya dari diri sendiri, sehingga mengutamakan amalnya bagi mencapai tujuan. Sedangkan orang yang arif tidaklah demikian. Mereka sama sekali tidak menganggap diri mereka mempunyai amal.. Apa lagi untuk bersandar kepadanya. Mereka berpendapat, yang hakiki hanyalah Allah swt, Raja’ (Harap) orang-orang yang arif ini tidak bertambah oleh sesuatu sebab dan tidak pula berkurang oleh sesuatu sebab. Raja’ (Harap) dan Khauf (Takut) mereka adalah seimbang dalam segala keadaan.



Mutiara Kata yang Indah Syarah Hikam (Jilid 1)
Keluaran: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Oleh: Ibn Athaillah
Susunan Oleh: Dr. Zulkifli Bin Mohammad Al-Bakri
Halaman: 521 mukasurat



Kitab Syarah Al-Hikam ini menarik sangat cara pengolahannya, di mana ianya dibahagikan kepada 8 bahagian kesemuanya bermula dari matan 1 sehingga matan 72.

Bahagian 2 Matan Hikmah 26:
Ibn ‘Ajibah berkata: “Sesiapa yang mengenali Allah swt sudah pasti dia kembali kepada-Nya pada setiap sesuatu dan bergantung kepada-Nya pada semua keadaan.”

Syeikh Zarruq berkata: “Cukuplah dengan cara ini iaitu kembali kepada Allah swt merupakan tanda keuntungan. Sebaliknya kembali kepada nafsu ialah tanda kerugian.”

Dari Matan Ibn Athaillah yang ke 26:
Antara alamat atau tanda kejayaan sesuatu pada akhirnya adalah dengan kembali kepada Allah swt pada permulaannya.

Mafhum Hikmah:
Antara tanda kerugian pada akhir sesuatu perkara ialah mengikut nafsu pada permulaannya. Hal ini adalah kerana jika permulaan dengan Allah swt natijah kesudahannya juga kepada Allah swt.

Iktibar Hikmah
1. Syeikh Zarruq berkata: “Antara alamat kerugian pada kesudahan sesuatu adalah dengan kembali kepada nafsu pada permulaannya. Hal ini adalah kerana jika permulaannya dengan Allah swt, pasti kesudahannya juga kepada Allah swt."

2. Syeikh Al-Nahjuri berkata: “Sesiapa yang kenyangnya dengan makanan, dia sentiasa lapar. Siapa yang kayanya dengan harta, dia fakir sentiasa. Siapa yang memohon hajat kepada selain Allah swt, dia sentiasa dihalang dan siapa yang minta pertolongan dalam urusannya kepada selain Allah swt, dia sentiasa hina.”

3. Sebahagian ulama tasawuf berkata: “Sesiapa yang menyangka bahawa dia akan sampai kepada Allah swt dengan yang lain selain Allah swt, dia tak akan sampai, dan sesiapa yang minta pertolongan dalam ibadat kepada dirinya sendiri nescaya akan diserahkan kepadanya.”

4. Ibn Ajibah berkata: “Jika kamu mahu cita-citamu berjaya dan hajatmu sampai perlulah pada awalnya lagi kamu kembali kepada Allah swt. Buangkan segala keupayaan dan kekuatan yang bergantung padamu.”

5. Benarlah kata setengah penyair yang maksudnya: "Jika Allah swt tidak menolongmu apa-apa yang kamu hendak, Nescaya tidak mungkin makhluk menolongnya,Jika Dia tidak menunjukkanmu pada setiap jalan, Nescaya sesatlahmu sekalipun pakar yang menunjukkannya."



Hakikat Hikmah Tauhid Dan Tasawuf Al Hikam (Jilid 1)
Keluaran: Pustaka Nasional Singapura
Oleh: Ibn Athaillah
Syarah Oleh: Prof. Dr. K.H. Muhibbuddin Waly
Halaman: 510 mukasurat



Kitab Al-Hikam ini menurut Abuya (Prof. Dr. K.H. Muhibbuddin Waly) merupakan inti dalam ilmu Tauhid dan tasawuf dan ianya telah disyarahkan dengan baik dan dengan bahasa yang mudah dan sesuai dengan pengetahuan orang umum, syarahnya bermula dari matan 1 sehingga matan 99.


Kaifiyat Mempertajam Mata Hati Dalam mengenal Allah
Syarah Matan al-Hikam Ibnu ‘Athaillah
Keluaran: Thinkers Library
Halaman: 455 mukasurat




Mengapa Harus Berserah
Kitab Asal: Al-Tanwir Fi Isqath Al-Tadbir
Oleh: ibnu Atho’illah ra
Keluaran: Serambi
Halaman: 335 mukasurat



Sadar untuk Bersandar – Gemala Hikmah ibn Atha’illah
Kitab Asal: Al-Janib Al-Athifi Min Al-Islam
Oleh: Muhammad Al-Ghazali
Keluaran: Serambi
Halaman: 151 mukasurat


“Kemaksiatan yang menimbulkan rasa hina dan rendah hati lebih baik daripada ketaatan yang menimbulkan rasa bangga dan ingin dipuji.”
“Jika Dia menghendakimu sampai kepada-Nya, Dia akan menutupi sifatmu dengan sifat-Nya, watakmu dengan watak-Nya. Dia membuatmu sampai kepada-Nya dengan kebaikan yang Dia berikan kepadamu, bukan dengan kebaikan yang engkau berikan kepada-Nya.”


Sumber : SeLaMaT SaMpaI TuJuaN

0 komentar: