Jejak Warisan Jawi II

10 June 2009

Resolusi Seminar Ulama Berjiwa Panglima (14122003)

Resolusi ini telah dibentangkan pada 14 Disember 2003 di UIAM Gombak oleh Pengarah Seminar Ulama Berjiwa Panglima, Sdr. Hafiz Madiah dan diserahkan kepada YM Tuan Haji Ishak Bin Itam, Guru Utama dan Presiden PSSCM di penghujung seminar.

1. Cara pendekatan ulama silam di dalam pendidikan masyarakat telah berjaya melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang perkasa. Cara ini haruslah diikuti sekarang bagi memperlihatkan anak bangsa yang mempunyai jati diri bagi menghadapi arus kehidupan masa kini dan yang akan datang.

2. Silat yang benar-benar berlandaskan akidah Islam adalah budaya bangsa Melayu yang jelas terbukti berjaya membentuk jati diri bangsa silam. Sehubungan dengan itu semoga dari seminar ini dapat membuka minda serta membangkitkan semangat sikap anak Melayu masa kini. Diharapkan anak-anak Melayu yang beragama Islam mempelajari dan menghayati seni silat yang benar-benar asli bagi menghadapi kemelut masalah anak bangsa masa kini.

3. Kita wajar menerima dan mengakui bahawa kebanyakan ulama silam telah banyak berjasa kepada masyarakat sama ada pada zamannya mahupun pada zaman ini. Justeru itu adalah disarankan diwujudkan sebuah badan atau institusi atau yayasan yang dipanggil "Gedung Pemikiran Ulama" untuk mengkaji dasar serta pemikiran mereka supaya dapat dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan akan datang. Sehubungan dengan itu disarankan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia agar berusaha dalam perjuangan bangsa sejak dahulu hingga kini dirakamkan dalam kaji selidik dan diajar di sekolah serta universiti supaya generasi yang dipanggil "Melayu Baru" ini sedar akan jasa orang tua dahulu.

4. Semua ulama dan badan persilatan berganding bahu untuk merungkaikan kekeliruan dan untuk menafikan pandangan serong di kalangan masyarakat Melayu bahawa silat bukan sekadar tari dan hiburan semata-mata tetapi mempunyai delipan-delipan pendidikan yang berupaya membentuk jati diri bangsa.

5. Kesedaran di kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam perlu dijelaskan bahawa setiap seni beladiri asing itu mempunyai unsur-unsur agama yang diselitkan tanpa disedari yang boleh menggugat akidah dan jati diri bangsa Melayu yang sopan lagi santun.


sumber : Laman Web PSSCM
1 2

0 komentar: