YM Tuan Haji Ishak Bin Itam
Presiden/Guru Utama PSSCM
1 October 2007 / 1 Syawal 1428 H
ALLAHU AKHBAR, ALLAHU AKHBAR, ALLAHU AKBAR, ALHAMDULILLAH
Alhamdulillah, Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya kita dapat bersama-sama menyempurnakan ibadat puasa dalam bulan Ramadhan yang penuh berkah pada tahun ini. Walaupun ibadat puasa telah berlalu tetapi kita perlu sentiasa mengingati rahsia dan hikmah puasa sepanjang masa. Puasa itu sebagai tempat atau bulan latihan sahaja, tetapi pada hakikat dan kepentingannya adalah sepanjang masa. Antara makna tersirat kepentingan puasa ialah:
Mempercayai serta yakin sifat Allah Taala yang tidak makan dan tidak minum seperti manusia. Kita sebagai manusia perlu makan dan minum untuk hidup. Begitulah Besarnya dan Maha Kuasanya Allah SWT.
Mendidik kita melawan hawa nafsu. Hakikat puasa bukan sahaja tidak makan dan tidak minum tetapi lebih daripada itu. Seluruh anggota kita hendaklah dijaga daripada melakukan perbuatan maksiat.
Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi akan rezekiNya kepada kita khususnya sewaktu kita berbuka puasa dan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Rasa keinsafan kepada orang fakir dan miskin yang memerlukan bantuan kerana mereka sentiasa tidak mencukupi untuk mencari sesuap nasi. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka kerana kita perlu ingat kemewahan yang Allah Taala berikan kepada kita bukan semuanya hak dan milik kita. Sebahagian rezeki yang Allah Taala berikan kepada kita adalah untuk fakir dan miskin yang Allah berikan melalui kita untuk kita sampaikan kepada yang berhak.
Marilah kita berdoa bersama-sama agar kita akan ditemukan semula pada Ramadhan yang akan datang dan semoga latihan sebulan di bulan Ramadhan dapat kita terus hayati sepanjang detik dan masa.
Di dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Dan Batin" kepada semua ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia khususnya dan kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam amnya.
Sekian, wassalam.
0 komentar:
Post a Comment