Jejak Warisan Jawi II

26 July 2009

JAIS Perkenal Kad Nikah Pintar

Masalah surat nikah palsu, kesahihan pernikahan dan pelbagai masalah nikah, cerai dan rujuk di negeri Selangor akan dapat diatasi dengan penggunaan kad nikah pintar yang akan diperkenalkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor mulai September, 2009 yang akan datang.

Kad Nikah pintar yang mudah dibawa ke mana-mana ini akan menyimpan segala data pernikahan dan boleh digunakan di mana-mana terminal mudah alih MYkad bagi membaca data yang tersimpan. Dengan ini proses mengesahkan pernikahan dapat dibuktikan dengan pantas.

Sementara itu, menurut sumber, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor, pelaksanaan Kad Nikah Pintar ini adalag bagi mengelak daripada memalsukan data pernikahan di samping menjamin kesahihan sesuatu pernikahan. Pelaksanaan kad ini juga dilihat sebagai meningkatkan imej negeri Selangor sebagai sebuah negeri maju.

Kad Nikah Pintar seumpama Mykad ini boleh dipohon di Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor mulai September 2009 dengan bayaran proses sebanyak RM30.00.

Dengan perlaksanaan penggunaan kad ini, JAIS mengorak selangkah lagi ke hadapan dalam penggunaan ICT dalam urusan harian. Sebelum ini, JAIS telah melancarkan Sistem Nikah, Cerai, Rujuk (NCR) secara "on-line" di mana borang-borang permohonan nikah, cerai atau rujuk serta borang khidmat nasihat boleh didapati secara muat turun melalui internet tanpa perlu hadir ke Pejabat Agama Islam.

Ketika ini JAIS sedang mempergiatkan proses memasukkan data-data nikah ke dalam sistem maklumat Nikah bagi memudahkan masyarakat Islam di Selangor menyemak data pernikahan mereka dengan melalui internet. Dianggarkan lebih 100 ribu data pernikahan, perceraian dan rujuk di Selangor akan dimasukkan ke dalam sistem dan proses ini dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun 2010.

Masyarakat Islam boleh menyemak data nikah, cerai, rujuk mereka dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan mereka di laman sesawang di http//www.jais.gov.my.

Sebagai makluman, Sistem Nikah, Cerai, Rujuk (NCR) ini telah dilancarkan oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim di Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Agama Islam Selangor pada November, 2008 yang lalu.

Pahlawan Melaka ; Seni Dan Inspirasi

Tarikh : 1-2 Ogos 2009

Tempat : Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka

Anjuran : PSSCM Cawangan Melaka

Program :
1. Majlis Bakti Mu Disanjung, Sembahmu Dijunjung
2. Kursus Mengenal & Mewarisi Teknik Menggunakan Senjata Melayu
3. Seminar "Seni Silat & Agama Teras Kepada Kejayaan Pahlawan Melaka"
4. Persembahan Seni Silat Nusantara
5. Pameran Seni dan Budaya Kaum-kaum Di Malaysia

Maklumat lanjut sila hubungi En. Sharizam (012-2420270), En. Huzaifah (012-6820460)
atau layari
http://melaka.silatcekak.org.my/pmsi/

sila klik
DAFTAR untuk daftar secara online

23 July 2009

Salam Ulang Tahun Kelahiran YM Guru Utama



23 Julai - Salam Ulang Tahun Kelahiran YM Guru Utama, Tuan Haji Ishak Itam yang ke-74 Tahun (1935).
Daripada YDP dan Ahli-ahli Jawatankuasa Cawangan Selangor, Saf Tenaga-tenaga Pengajar Cawangan, Pimpinan-pimpinan Pusat-pusat Latihan Cawangan dan seluruh ahli-ahli Cawangan.

Israk Mikraj : Mencari Panduan Ketamadunan

Samsu Adabi Mamat
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam



Peristiwa israk mikraj merupakan salah satu peristiwa penting dalam rakaman sejarah kehidupan Nabi SAW Peristiwa ini bukan sahaja penting kepada Nabi SAW semata-mata, malah ianya amat penting sekali kepada seluruh Umat Islam.

Sebagaimana diakui dalam banyak tulisan bahawa: “…Satu-satunya peristiwa yang paling penting berlaku pada tahun terakhir Nabi di Mekah ialah peristiwa israk dan mikraj. Peristiwa ini merupakan satu peristiwa yang paling berkesan dalam kehidupan beragama…”(Seyyed Hossein Nasr, 1994, hlm.16)


Realiti kisah Israk mi’raj ini berlaku pada tahun 621M (Hayat Muhammad,1986, hlm.151). Dalam satu tulisan lain pula menyebut peristiwa ini berlaku pada hari ke 27 dari bulan Rejab. Dalam tulisan Syed Hussein Nasr pula menerangkan bahawa peristiwa ini berlaku pada salah satu malam ganjil dari sepuluh malam penghabisan dalam bulan Ramadhan. (1994, hlm.16)

Kepada Nabi SAW peristiwa ini adalah suatu anugerah tertinggi Allah kepada Baginda sebagai Nabi kekasih Allah, di mana berlakunya pertemuan yang begitu shahdu dan qudus di antara baginda dengan Tuhannya.

Kepada Umat Islam keseluruhannya pula ianya telah mencetuskan banyak pemahaman dan perbincangan. Dalam banyak tulisan, kebanyakannya mempunyai persepsi-persepsi sebagaimana berikut:

Kalangan orang Islam ada yang menolak peristiwa ini kerana dianggap bertentangan dengan akal. Kalangan orang Islam juga ada yang berhujah masing-masingnya tentang berlakunya peristiwa ini sama ada secara roh sahaja atau secara roh dan jasad.

Kalangan orang Islam pula ramai melihat peristiwa ini penting di dalam membangunkan peraturan sosial Islam seperti larangan riba, mengumpat, perbuatan zina dan lain-lain.

Kalangan Muslim juga ramai yang melihat peristiwa ini dari aspek saintifik yang harus membuka minda masyarakat untuk pembangunan kemajuan umat Islam dan manusia keseluruhannya.

Masalah pertama ialah masalah pemikiran manusia yang menilai benar atau tidaknya peristiwa ini, khayalan atau realiti. Hal ini dapat dilihat contohnya pertama kali Nabi SAW memberitahu kaumnya, ramai yang menafikannya malah mula menghina Nabi. Malah ada kalangan Orang Islam awal yang mula meragui kebenaran Nabi s.a.w. Kalangan masyarakat Islam moden pula ada yang berlandaskan rasional semata-mata seolah menafikan peristiwa ini. Sebagaimana dijelaskan dalam satu tulisan bahawa; Mikraj merupakan peristiwa yang paling payah difahami oleh orang yang terjebak dengan dimensi reality alam fizikal semata mata. Mikraj Nabi SAW pada masa yang sama merupakan satu peristiwa yang paling payah diterima terutama sekali di kalangan generasi muda umat Islam yang sudah terpengaruh sepenuhnya dengan pandangan hidup berasaskan pernyataan sains moden. (Seyyed Hussein Nasr, 1994. hlm.16 & 24)

Sebenarnya kebimbangan orang-orang terdekat dengan Nabi SAW tentang ketidakpercayaan masyarakat tentang kisah mikraj ini apabila diceritakan kepada masyarakat umum ketika itu sudah pun digambarkan dari awal lagi. Contohnya Ibnu Hisham berkata bahawa seperti disampaikan kepadaku dari Ummu Hani binti Abdul Muthalib r.a (nama aslinya Hindun) tentang Isra’ Rasulullah s.a.w. Ummu Hani berkata; “,…setelah Baginda solat subuh baginda berkata “, Wahai ummu Hani’ sungguh aku telah solat isya akhir di lembah ini seperti yang engkau lihat, kemudian aku datang ke Baitul Maqdis dan solat di dalamnya, kemudian aku mengerjakan solat subuh bersama kalian sekarang seperti yang kalian lihat, ….aku (Hindun) berkata kepada baginda, ‘wahai Nabi Allah SAW jangan ceritakan peristiwa ini kepada manusia, sebab nanti mereka mendustakanmu dan menyakitimu’. Rasulullah SAW bersabda’ “ Demi Allah aku pasti menceritakan peristiwa ini kepada mereka. (Ibn Hisham, Sirah, 2002. hlm.363)

Masalah kedua pula, perselisihan pandangan berlaku mengenai samada peristiwa ini berlaku keatas Nabi secara roh sahaja atau jasad dan roh sekali. Masalah ini tidaklah seburuk masalah pertama yang tidak percaya kepada peristiwa israk dan mikraj ini. Dalam hal kedua ini, mereka mengakui kebenaran berlakunya Isra mikraj, namun berselisih pandangan adakah ianya berlaku secara roh atau mimpi sahaja atau adakah ianya berlaku secara pergerakan dan pengembaraan fizikal iaitu secara jasad dan Roh. Contohnya ; Ibn Ishak berkata bahawa Ya’kub bin Utbah bin al-Mughirah bin al-Akhnas berkata kepadaku jika Muawiyah bin Abu Sufyan ditanya tentang peristiwa isra’ Rasulullah s.a.w maka ia berkata: “sungguh mimpi-mimpi dari Allah adalah benar” (Ibn Hisham, 2002, hlm.361). Ini adalah salah satu contoh pandangan awal dalam sejarah Islam bahawa peristiwa ini mengikut satu pandangan berlaku tidak secara jasad tetapi secara roh sahaja.


Walau bagaimanapun tindakbalas dan reaksi manusia Islam terhadap peristiwa ini yang penting sekali adalah ianya suaTu reality yang benar-benar berlaku dan termaktub di dalam al-Quran:surah al-Isra’ ayat 1. yang bermaksud: Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. (surah al-Isra. 17:1)

Ibn Ishak dalam menyatakan mengenai periwayat-periwayat hadis israk dan mikraj bahawa; ….“mereka semua meriwayatkan dari Rasulullah SAW sebahagian dari apa yang beliau sebutkan tentang peristiwa israk yang beliau alami, . Sungguh pada peristiwa israk yang beliau jalani dan apa yang beliau sebutkan di dalamnya terdapat tujuan, seleksi dan salah satu bukti kekuasaan Allah. Di dalamnya juga terdapat pelajaran bagi orang-orang berakal,, petunjuk, rahmat pengukuhan bagi orang yang beriman kepada Allah dan membenarkannya. Sungguh peristiwa isra’ adalah salah satu bukti kekuasaan Allah. Allah SWT mengisra’kan baginda seperti yang di kehendaki-Nya untuk memperlihatkan ayat-ayat-Nya kepada yang Dia inginkan, hingga beliau boleh menyaksikan bukti-bukti kekuasaannya dan kemampuannya mengerjakan apa sahaja yang diingininya. (IH, 358)

Oleh itu dalam membincangkan kalangan Muslim ketiga dan keempat adalah mereka yang percaya akan peristiwa ini dan seterusnya mengambil pengajaran besar dari kisah perjalanan Nabi SAW ini. Hasil dari peristiwa inilah sebenarnya umat Islam boleh jadikan sebagai salah satu panduan di dalam pembentukan ketamadunan umat Islam sendiri. Panduan ketamadunan itu sama ada dari segi peradabannya dan juga tamadun kebendaan dan keilmuannya.

Dari segi panduan peradaban, pengajaran dari peristiwa ini banyak menyumbang kepada sistem kemasyarakatan sehingga tidak dapat dinafikan lagi. Sebagaimana disebut dalam sirah Ibn Hisham bahawa, Keburukan-keburukan seperti keburukan orang yang memakan harta anak yatim, orang yang memakan harta riba, laki-laki penzina, wanita-wanita penzina dan sebagainya (Ibn Hisham, 2002 hlm.367). Gambaran balasan kejahatan ini, jika difahami akan menyedarkan kita mengenai keburukan dan siksaan perbuatan ini. Menghindari kejahatan seperti ini akan memberikan keharmonian kepada sesuatu bangsa itu dan secara langsung dapat membina peradaban bangsa berkenaan.

Dalam satu tulisan menyebut bahawa, pengalaman rohani yang utama hasil peristiwa israk mikraj ini merupakan contoh perjalanan rohani dan ibarat kiasan kepada kehidupan spiritual umat Islam umumnya. Malam pengembaraan “laylat al-Mi’raj ialah cermin kepada malam qadar (laylat al-qadr). ..Pengalaman Nabi dalam peristiwa mikraj ini menjadi inspirasi kepada ramai penulis Islam termasuklah pengaruhnya dalam karya-karya Ibn Arabi dan Sana’i yang kemudiannya mempengaruhi penulis dan kesusasteraan Eropah terutamanya Dante seperti yang dapat dilihat dalam karyanya Divine comedy. Peristiwa mikraj ini juga menjadi sumber ilham para wali dan ahli mistik Islam dari satu generasi ke satu generasi dan juga menggariskan asas kosmos Islam (Seyyed Hussein Nasr, 1994, hlm.17)

Namun begitu sebenarnya, Apa yang perlu dan penting sekali bagi umat Islam perpanjangkan kisah realiti ini ialah pengaplikasiannya dan pengadaptasian pengetahuan hasil anugerah terhadap Nabi SAW ini dalam aspek sains dan teknologi, sains angkasa, kosmologi dan sebagainya yang akhirnya boleh menyumbang kepada kemajuan tamadun Manusia. Sekadar menyebut beberapa contoh sahaja sebagaimana di bawah.

Burak; adalah suatu perlambangan kenderaan terpantas meneroka angkasa lepas. Orang Barat menggunakan kenderaan angkasa untuk meneroka planet Marikh contohnya. mengambi masa beberapa tahun untuk pergi dan kembali.

Masa; masa di sisi Tuhan adalah panjang berbanding masa dunia. Rasulullah SAW meneroka 7 lapisan langit hingga menemui Tuhannya dalam masa satu malam sahaja.

Alam; adalah ‘ma siwallah-apa atau sesuatu selain Allah’ keluasannya tidak terkira. …..ketika baginda melihat dengan mata batin dari sidrat al-muntaha ke alam ini. (Husein Haikal, 1989, hlm.157). Hal ini sudah pasti pada masa itu boleh melihat keseluruhan bumi ini yang bulat bentuknya.

Aspek-aspek sains dan teknologi serta keilmuan lain seperti aspek perubatan, kisah-kisah masa depan, hirarki sesebuah kerajaan dan sebagainya

Cukuplah sekadar membayangkan beberapa contoh sahaja panduan ketamadunan hasil dari reality peristiwa israk dan mikraj ini kepada kemajuan ilmu serta sains dan teknologi. Sebenarnya banyak lagi panduan ketamadunan yang boleh diambil dari kisah isra dan mikraj ini dalam banyak aspek ilmu pengetahuan. Kalau kita meneliti banyak pembikinan filem Hollywood sebagai contoh lain, sebenarnya jika diselidiki akan menyerlahkan suatu pengadaptasian dari kisah isra’ dan mikraj ini. Orang Barat juga begitu maju dalam bidang sains angkasa, sedangkan cetusan mengenai sains angkasa dan penerokaan angkasa lepas itu telah dicetuskan sedemikian lama oleh baginda SAW melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

Sebagai kesimpulannya peristiwa Isra Mikraj adalah suatu kejadian yang benar-benar berlaku dalam sejarah kehidupan Nabi SAW yang menjadi suatu anugerah kebesaran baginda SAW sebagai kekasih Allah dan nabi Akhir zaman. Peristiwa ini banyak mendatangkan kesan kepada kehidupan beribadat, bermasyarakat dan kehidupan keilmuan umat Islam dan manusia keseluruhannya. Dalam kehidupan beribadat Solat contohnya adalah ibadat terpenting yang diterima oleh baginda SAW secara terus dari Allah SWT.. Dalam kehidupan bermasyarakat pula. Segala peristiwa yang disaksikan oleh Nabi SAW mengenai keburukan mengumpat, riba, perbuatan zina dan sebagainya adalah mampu membentuk masyarakat berperadaban dan berharmoni. Akhir sekali peristiwa ini banyak mencetuskan dan membuka jalan kearah penerokaan pelbagai ilmu sains dan teknologi seperti kemajuan sains angkasa dan seterusnya menjadi panduan kepada ketamadunan manusia. Wallahu a’lam.

18 July 2009

Pendaftaran Komuniti Silat Cekak Online

- Pendaftaran ruangan ahli untuk Komuniti silatcekak.org.my kini dibuka kepada semua ahli pemegang Kad Setia PSSCM.

- Pendaftaran boleh dibuat di ruangan ahli di silatcekak.org.my

- Pada masa ini komuniti ini menyediakan ruangan forum dan diskusi (chat).

08 July 2009

Pertandingan Persembahan PSSCM-IPT Kebangsaan 2009

1. Karnival Wajadiri IPT : Pertandingan Persembahan Seni Silat Cekak Malaysia Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kebangsaan 2009 Ke-3 adalah program anjuran bersama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan PSSCMUiTM Malaysia.

2. Pertandingan ini diadakan pada 5-6 Disember 2009 (Sabtu dan Ahad) bertempat di Pusat Sukan UiTM Malaysia.

3. Pertandingan ini terbuka kepada semua PSSCM seluruh IPTA & IPTS di peringkat kebangsaan dan dikendalikan oleh Jabatan Penerangan PSSCM.

4. Setiap IPTA & IPTS yang ingin menyertai pertandingan ini perlu mendaftar kepada PSSCM UiTM Malaysia.

5. Setiap pasukan dikenakan bayaran sebanyak RM150.00, tidak termasuk kos penginapan dan sajian. Bayaran hendaklah dibayar kepada PSSCMUiTM MALAYSIA. Sekiranya terdapat pasukan yang menarik diri, bayaran tersebut tidak boleh dituntut.

6. Pihak Penganjur (PSSCMUiTM MALAYSIA) berhak ,menolak mana-mana pasukan setelah merujuk kepada Pengerusi Pertandingan.

7. Jabatan Penerangan PSSCM diberi tanggungjawab bagi mengendali, menyelaras dan membantu program tersebut. Sebarang bentuk arahan, peraturan dan larangan yang termaktub dalam Buku Panduan Kursus Pertunjukan Dan Demostrasi Edisi ke-3 2008 di gunapakai selain daripada Peraturan Pertandingan yang dilampirkan ini.

Borang Pendaftaran KWJ 2009.doc

Borang Penyertaan KWJ UiTM 2009.doc

Format Pertandingan Wajadiri Uitm 2009.doc


Keputusan Pertandingan Tahun Lepas (UniKL-BMI 2008)
Johan Keseluruhan (L) : Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS 1)
Johan Keseluruhan (P) : Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Pasukan Harapan (L) : Universiti Teknologi MARA (UiTM Jln Othman)
Pasukan Harapan (P) : Universiti Tenaga Nasional (UNITEN, PAHANG)



Maklumat Lanjut
1. http://www.psscmuitm.org/
2. PSSCM Politeknik PSAS, Behrang (PSSCM Caw Selangor)

02 July 2009

Sukan Waja Diri Hindari Belia Dari Dadah

28/06/2009 11:15am

ALOR SETAR 28 Jun — Golongan belia digalakkan supaya bergiat aktif dalam kegiatan sukan mempertahankan diri dan menyertai program Rakan Waja diri yang dilihat mampu menghindari mereka daripada terjebak dalam sebarang gejala negatif, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom.

Beliau berkata kumpulan belia yang bergiat aktif dalam kegiatan sukan itu juga mampu menjadi penyelamat kepada warisan seni mempertahankan diri turun-temurun, daripada pupus begitu sahaja.

"Nilai dalam seni warisan mempertahankan diri mampu membangunkan modal insan yang dapat melahirkan individu cemerlang untuk merealisasikan hasrat membina konsep 1-Belia, seterusnya 1-Malaysia,” kata Mohd Johari sewaktu berucap pada majlis penutup Rakan Waja diri sempena kejohanan sukan mempertahankan diri peringkat kebangsaan kali ke-11 di sini, malam tadi.

Sebanyak 1,800 peserta mewakili 10 disiplin dari 15 buah negeri termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera menyertai kejohanan tiga hari itu yang bermula Khamis lepas.

Mohd Johari yang juga Yang Dipertua Pemadam Kebangsaan berkata ramai belia menjadi penagih dadah sukar dipulihkan kerana mereka tidak aktif atau tidak mempunyai platform untuk membabitkan diri secara aktif dalam program-program yang sihat.

Sementara itu dalam kejohanan yang berakhir semalam pasukan Persekutuan Taekwando Antarabangsa Malaysia (ITFM) Sarawak muncul juara disiplin taekwando; manakala Sabah (shito-ryu); Melaka (gayung Malaysia); Pahang (gayung Fatani); Kuala Lumpur (silat lincah); Selangor (silat Helang Putih); Pahang (taekwando MGTF); Negeri Sembilan (wushu); Negeri Sembilan (silambam) dan Melaka (silat cekak). — BERNAMA
Sumber : Utusan Online

23 June 2009

Kejohanan Mempertahankan Diri Kebangsaan 2009

Senarai Nama Pengurus, Jurulatih dan Peserta
Disiplin : SENI SILAT CEKAK MALAYSIA
Kontigen : SELANGOR

Nama Pengurus : R.H. ABDUR ROZAQ BIN IBRAHIM (730522-14-xxxx)
Nama Jurulatih : NAZRI BIN PILUS (700722-05-xxxx)

Nama Peserta :
1. MOHD HELMY BIN ALYASHA (860526-43-xxxx)
2. HARIZ HAZWAN BIN RAMLEE (840123-10-xxxx)
3. MOHD RAZIL BIN MOHD JAMIL (820625-10-xxxx)
4. MUHAMMAD FIRDAUS BIN AHMAD USULDIN (871212-14-xxxx)
5. ZULKIFLI BIN SHAARANI (850722-10-xxxx)
6. MOHD FADZIL BIN JONIT (851210-14-xxxx)
7. MUHAMMAD FAIZAL BIN ZAKRIFI (840623-14-xxxx)
8. MUHAMAD SHAH RIZAL BIN IDERIS (830419-14-xxxx)
9. MUHAMAD HASANUDIN AL-HAFIZ BIN ZOLKELANA (830419-14-xxxx)
10. NIK MOHD FAIZ BIN CHE MOHD NOOR (870104-46-xxxx)


Para peserta merupakan gabungan ahli-ahli daripada Pusat Latihan Serdang dan Puchong. Majoritinya adalah pertama kali menyertai Kejohanan seumpama ini. Pada tahun 2008, Pusat Latihan Kuang dipilih mewakili Selangor manakala tahun sebelum itu adalah daripada Pusat Latihan Bukit Beruntung.

Pihak Jawatankuasa Cawangan Selangor mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua peserta yang terlibat termasuk para ahli Dewan Hakim dan semua juri yang akan menjayakan Kejohanan ini.

10 June 2009

Resolusi Seminar Ulama Berjiwa Panglima (14122003)

Resolusi ini telah dibentangkan pada 14 Disember 2003 di UIAM Gombak oleh Pengarah Seminar Ulama Berjiwa Panglima, Sdr. Hafiz Madiah dan diserahkan kepada YM Tuan Haji Ishak Bin Itam, Guru Utama dan Presiden PSSCM di penghujung seminar.

1. Cara pendekatan ulama silam di dalam pendidikan masyarakat telah berjaya melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang perkasa. Cara ini haruslah diikuti sekarang bagi memperlihatkan anak bangsa yang mempunyai jati diri bagi menghadapi arus kehidupan masa kini dan yang akan datang.

2. Silat yang benar-benar berlandaskan akidah Islam adalah budaya bangsa Melayu yang jelas terbukti berjaya membentuk jati diri bangsa silam. Sehubungan dengan itu semoga dari seminar ini dapat membuka minda serta membangkitkan semangat sikap anak Melayu masa kini. Diharapkan anak-anak Melayu yang beragama Islam mempelajari dan menghayati seni silat yang benar-benar asli bagi menghadapi kemelut masalah anak bangsa masa kini.

3. Kita wajar menerima dan mengakui bahawa kebanyakan ulama silam telah banyak berjasa kepada masyarakat sama ada pada zamannya mahupun pada zaman ini. Justeru itu adalah disarankan diwujudkan sebuah badan atau institusi atau yayasan yang dipanggil "Gedung Pemikiran Ulama" untuk mengkaji dasar serta pemikiran mereka supaya dapat dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan akan datang. Sehubungan dengan itu disarankan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia agar berusaha dalam perjuangan bangsa sejak dahulu hingga kini dirakamkan dalam kaji selidik dan diajar di sekolah serta universiti supaya generasi yang dipanggil "Melayu Baru" ini sedar akan jasa orang tua dahulu.

4. Semua ulama dan badan persilatan berganding bahu untuk merungkaikan kekeliruan dan untuk menafikan pandangan serong di kalangan masyarakat Melayu bahawa silat bukan sekadar tari dan hiburan semata-mata tetapi mempunyai delipan-delipan pendidikan yang berupaya membentuk jati diri bangsa.

5. Kesedaran di kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam perlu dijelaskan bahawa setiap seni beladiri asing itu mempunyai unsur-unsur agama yang diselitkan tanpa disedari yang boleh menggugat akidah dan jati diri bangsa Melayu yang sopan lagi santun.


sumber : Laman Web PSSCM
1 2

08 June 2009

Misi, Visi & Matlamat PSSCM

MISI
Memimpin dan membentuk ahli-ahli PSSCM khususnya dan orang Melayu amnya supaya beriman dan bersatu untuk mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara.


VISI
Mendaulatkan Seni Silat Melayu yang asli, khususnya Seni Silat Cekak Malaysia dan membersihkan segala tahyul dan khurafat yang tidak sesuai dengan iktikad Islam.


MATLAMAT
- Menghidupkan, memperkenalkan serta mempersebatikan pusaka bangsa yang merupakan seni kebudayaan keturunan yang hampir dilupakan.
- Menanamkan perasaan cinta dan kasih akan hak dan warisan mutlak bangsa Melayu.
- Menanamkan semangat bahawa kitalah yang bertanggungjawab menjaga diri sendiri, tanpa bergantung kepada orang lain.
- Memberi pengertian tujuan dan matlamat bersilat, juga tujuan dan mengapa hidup serta matlamat sebenar hidup itu.
- Membasmi dan menentang tahyul dan khurafat yang tidak sesuai dengan iktikad Islam.
- Menanamkan semangat dan roh Islam sebagai pegangan bagi menghadapi apa jua keadaan.


STRATEGI
- Memantapkan sistem pentadbiran dan keurusetiaan dengan mengadakan infrastruktur dan sistem sokongan seperti maklumat pangkalan data serta memastikan keutuhan perlembagaan PSSCM.
- Melaksana melalui pelbagai medium untuk majlis penerangan berkenaan Seni Silat Cekak dengan mengadakan laman web, Berita Cekak, Kursus Penerangan dan demonstrasi serta menggalakkan koleksi sejarah Silat Cekak samada dalam bentuk teks, teks bergambar mahupun multimedia.
- Mendapatkan pembiayaan bagi program peluasan budaya Melayu melalui kegiatan yang berasaskan Seni Silat dan menguruskan aset bagi menjana pengembangan ekonomi.
- Mengambil inisiatif untuk mengembangkan Seni Silat Cekak di Institusi Pengajian Tinggi atau Pusat Pendidikan dan menyusun program yang dapat membangunkan dan menyuburkan lagi budaya Seni Silat.
- Melakukan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan bagi program pengukuhan nilai-nilai budaya Melayu dan membina program yang bersesuaian untuk peluasan dan pengembangan Seni Pusaka Melayu melalui Seni Silat.
- Mengambil usaha proaktif secara berterusan untuk memastikan misi, visi dan matlamat PSSCM tercapai dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang mendorong kepada penyatuan dan perpaduan ahli.

28 May 2009

Petua Keselamatan Jalan Raya

8 Petua Keselamatan Jalan Raya

1) Rancang perjalanan anda terlebih dahulu. Jika anda letih, mengantuk, mabuk atau tidak fokus, tangguhkan perjalanan anda.

2) Sentiasa ikut had laju yang ditentukan.

3) Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong. Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.

4) Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki.

5) Elakkan daripada mengekori kenderaan lain pada sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalangan yang serius.

6) Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong. Jangan memotong jika teragak-agak.

7) Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan. Ia bukan sahaja biadap tetapi membahayakan semua pengguna.

8) Elakkan mencelah di antara kenderaan kerana ini membahayakan keselamatan anda dan orang lain.


"SELAMAT BERMESYUARAT DI KUALA TERENGGANU 29-31 MEI 2009 KEPADA SEMUA PERWAKILAN DAN PEMERHATI"

sumber : http://www.panducermat.org.my/

11 May 2009

Tema Cekak 44 Tahun “BUDAYA PENYATU UMMAH”

"BUDAYA PENYATU UMMAH"

Budaya dan Bangsa adalah dua istilah yang begitu berkait rapat. Tanpa budaya, maka tiadalah bangsa. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya tiada bangsa, maka tidak akan wujud sesebuah budaya untuk dipraktikkan.

Untuk menterjemahkan dan memperkenalkan Budaya Bangsa Melayu yang sebenar tanpa meninggalkan panduan dan amalan agama yang dianuti, maka penerapan nilai budaya ini mestilah dibina melalui kaedah-kaedah yang bersesuaian dan dapat diterima oleh seluruh bangsa.

Masyarakat khususnya bangsa Melayu perlu sentiasa diberi kesedaran, dibimbing dan dididik akan kepentingan mengamalkan dan mempertahankan budaya yang selaras dengan kehendak Agama Islam, seperti yang digariskan di dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Matlamat sebenar PSSCM melalui program ini adalah untuk memupuk semangat orang Melayu supaya kembali kepada budaya Melayu yang asal berlandaskan panduan dan amalan yan terdapat di dalam agama Islam. Apabila elemen ini berjaya diterapkan, maka di penghujung proses perlaksanaan ini, kita akan dapat melihat suatu kelompok bangsa Melayu atau Ummah yang sentiasa bersatu dan berpegang kepada Agama Islam.

Bangsa Melayu yang mempunyai Budaya yang berpaksikan agama Islam adalah mereka yang boleh mempunyai sifat-sifat seperti jati diri yang mantap, sikap berani kerana benar, insan yang berdaya tahan dan bernilai murni.

Oleh itu, tujuan dan matlamat sebenar PSSCM dalam menggembleng usaha bagi Budaya Penyatu Ummah untuk mengembalikan jati diri sebenar orang Melayu yang mana melalui sifat-sifat yang dinyatakan di atas akan dapat melahirkan Ummah yang bersatu dan sanggup mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara dalam merentasi pelbagai cabaran arus globalisasi.

27 April 2009

Sambutan Perayaan 44 Tahun PSSCM 2009

Tarikh: 29,30 & 31hb Mei 2009
Tempat: Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Tema: Budaya Penyatu Ummah.


Laman Web Program : Klik di sini
Keputusan Ujian Sijil Rendah 2009 : Klik di sini

** Bayaran RM80.00 seorang. Penyertaan adalah melalui cawangan masing-masing.

NOTA:
1. PAKAIAN PENERIMA SIJIL:
- LELAKI: BAJU MELAYU RASMI (‘BLUE-BLACK’) PSSCM, SAMPING DAN CAPAL PUTIH
- WANITA: BAJU KURUNG/KEBAYA RASMI (‘BLUE-BLACK’) PSSCM
2. BAYARAN: - YURAN PENYERTAAN (PAKEJ) RM80:00 & GAMBAR RM15:00


* Sebarang permasalahan sila hubungi Setiausaha Cawangan Selangor, Ustaz Zaid (019-2202327) atau Pen. Setiausaha Cawangan, Ajaq (012-3847689)





23 April 2009

Aktiviti 26 April 2009

PROGRAM LATIHAN BERSEPADU CEKAK KALI KE 7
Tarikh: 26 April 2009 (Ahad)
Masa: 9.00 pagi
Tempat: Dataran Remaja, Bukit Jalil (Belakang Stesen LRT Bukit Jalil)
Anjuran: PSSCM & KBS
Ahli-ahli PSSCM yang telah tamat dijemput hadir.
Segala pertanyaan sila hubungi Sdr. Rosman bin Mat Deli (019-269 1172)

MAJLIS TAHLIL & BACAAN YASIN
ALLAHYARHAM NORAZLAN OTHMAN
Tarikh : 26 April 2009
Masa : 9.00 malam
Tempat : Lot 668, Taman Sri Kamin, Ulu Yam Bharu
44300 Batang Kali.
Semua ahli dijemput hadir.

20 April 2009

Norazlan Othman Kembali Ke RAHMATULLAH

18 April 2009 (Sabtu) jam 1.30 petang. Sdr Norazlan bin Othman (Along) telah kembali ke rahmatullah di Hospital Kuala Kubu akibat sakit didalam perut. Arwah merupakan seorang Tenaga Pengajar di PSSCM Cawangan Selangor, Pusat Latihan Bukit Beruntung (PLBB) dan juga merupakan Pengerusi Biro Audio Visual PLBB. Sebagai seorang ahli persatuan yang aktif, arwah dipertanggungjawabkan sebagai AJK bahagian Produksi di Jabatan Penerangan dibawah Ketua Penerangan PSSCM, Sdr. Rosman bin Mat Deli.Seluruh warga cekak khasnya di PLBB, berdukacita di atas kehilangan beliau. Bagi warga PLBB arwah merupakan seoorang yang komited dalam bepersatuan, berguru dan bersilat... Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman. AL-FATIHAH.

Sumber : www.silatcekak.org

16 April 2009

Selamat Pengantin Baru! Mohd Irhan Bin Ishak

Petikan Blog Sumere 1 & 2 (Dengan Izin)

Emmm.....Akhirnya, sampai sudah seru beliau menjadi suami kepada se0rang wanita setelah sekian lama menanti masa yang sesuai.. Siapakah beliau yang aku perkatakan ini?? Jeng..jeng..jeng.. Beliau ini adalah penyelia kelas PSSCM UiTM Pahang. (Sapa yang tak tau ni, tak tau la ape yang aku nak kata..hanya paras pecahan ke-3 mampu kuberi..heh!)

Pada tanggal bersejarah 13 Mac 2009 (bagi beliaula) selamat sudah beliau menerima akad nikah bertempat di masjid Sungai Besar.. Malang bagiku kerana terlepas menyaksikan perlangsungan akad nikah tersebut. Lantaran aku dan beberapa sahabatku tersesat hingga ke Sungai Besi (jangan gelak..cis!).. Kami mula bergerak pada pukul 1 lebih dengan menaiki Kelisa Nanak0.. Niat mulanya, kami akan ke Shah Alam bagi menjemput sese0rang, malangnya racangan kami bertukar 0n da sp0t. Sebab itula kami sesat kerana masing-masing tidak tahu jalan di sana.

Ahli PSSCMCT Diajak Bersatu

Bak kata pepatah, "Bersatu Teguh Bercerai Roboh"; itulah antara intipati ucapan Datuk Hj Maideen Kadir Shah semasa merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan ke-20 (MAC-20) PSSCMCT. Dalam ucapan itu juga, beliau turut menyatakan kesedihan kerana ada di kalangan orang Melayu yang tidak bersatu disebabkan tidak mempunyai perasaan cinta dan kasih kepada bangsa sendiri. Datuk Hj Maideen yang merupakan Naib Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) turut mengingatkan ahli-ahli yang hadir pada mesyuarat tersebut agar bersyukur dengan nikmat yang diperolehi, dan jangan sesekali sombong dengan kejayaan yang dikecapi; sepertimana yang dituntut dalam Islam.


Mesyuarat Agung kali ke 20 ini telah diadakan di Dewan Seri Budi, Kuala Terengganu pada 27 Mac baru-baru ini. Ianya telah dihadiri oleh ahli-ahli dari semua kelas latihan seluruh Terengganu; antaranya Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Darul Iman, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman dan Universiti Teknologi Mara kampus Dungun. Kehadiran yang dicatatkan adalah seramai 183 orang.

Berita Lanjut

06 April 2009

Seni Silat Perlu Dipelihara, Pertahankan

KUALA TERENGGANU - Negeri ini yang kaya dengan kesenian dan kebudayaan menjadi pengukur ke arah usaha menarik minat ramai pelancong luar untuk datang ke Terengganu.

Yang Dipertua Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Cawangan Terengganu (PSSCMCT), Che Zabario Mohd Yasim berkata, pelancong yang datang ke negeri ini bukan sahaja ingin melawat lokasi pelancongan tetapi juga mahu menyaksikan keagungan seni dan budaya yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

"Antaranya, seni silat kerana ia adalah seni warisan pusaka yang mungkin tidak terdapat di negara lain. “Oleh itu, kita perlu memeliharanya sebagai satu khazanah atau sekurang-kurangnya menjadikan ia sebagai produk pelancongan,” katanya.

Menurut Che Zabario, melalui silat juga, masyarakat khususnya generasi muda dapat melakukan sesuatu perkara yang boleh mendisiplinkan diri dan membawa faedah kepada diri mereka.

Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya masyarakat Melayu terus mempertahankan seni warisan berzaman itu kerana bimbang akan dilupakan.

Jika keadaan itu terjadi, generasi akan datang tidak berpeluang mengenali seni mempertahankan diri ini lagi,” katanya.


Sumber :
Sinar Harian online Edisi Terengganu (22 Mac 2009)

30 March 2009

Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Kebangsaan, Pulau Pinang 2008

Program Perhimpunan Ahli-ahli Tamat (PERATA) 2008. Berlangsung pada 12 Oktober 2008 di Dewan Serbaguna UniKL-MIAT, Jenderam Hilir, Dengkil dengan kerjasama PSSCM UniKL-MIAT. Selain menghimpunkan Ahli-ahli Tamat daripada seluruh Cawangan ia juga untuk memilih pasukan dan peserta terbaik untuk mewakili Cawangan Selangor untuk ke Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Kebangsaan, Pulau Pinang 2008. Pasukan daripada Pusat Latihan Kuang telah berjaya dipilih untuk ke Kejohanan tersebut.
Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Kebangsaan, Pulau Pinang 2008
Berlangsung pada 27-29 November 2008 di Dewan Utama Desasiswa Tekun, USM Pulau Pinang. Dirasmikan oleh Encik Roslin Ali Omar, Setiausaha Agung PSSCM pada Majlis Pembukaan manakala Majlis Penutup serta penyampaian hadiah disempurnakan oleh Puan Che Jaharah Abd Hamid, Timbalan Ketua Pengarah (Bhg. Pembangunan Belia & Sukan), Kementerian Belia dan Sukan.

Senarai Pasukan Silat Cekak Malaysia Kontigen Selangor :
a) Ahmad Fikri Bin Mohd Danial (Pengurus Pasukan)
b) Selamat Bin Ab Shukor (Jurulatih Pasukan)
c) Zulkifli Bin Abdul Latip
d) Mohd Nazim Bin Abd Latip
e) Zainal Bin Adanan
f) Mohd Ashraf Bin Mohd Nor
g) Muhammad Fairuz Bin Saad
h) Noraszeli Bin Ramli
i) Muhammad Sukri Bin Baharin
j) Zuliskandar Bin Mohd Yusop
k) Mohd Hairol Azhar Bin Ramli
l) Shahareda Bin Shaharudin

Keputusan Penuh Disiplin Seni Silat Cekak Malaysia :

1. Kategori 1
Emas
- WP Kuala Lumpur
Perak - Negeri Sembilan
Gangsa -
Selangor

2. Kategori 2
Emas - WP Kuala Lumpur
Perak - Negeri Sembilan
Gangsa - Melaka

3. Kategori 3
Emas - WP Kuala Lumpur
Perak - Negeri Sembilan
Gangsa - Pulau Pinang

4. Kategori 4
Emas - WP Kuala Lumpur
Perak - Terengganu
Gangsa -
Selangor

5. Kategori 5
Emas - WP Kuala Lumpur
Perak - Terengganu
Gangsa - Perak



p/s maaf kerana terlalu lewat berita ini..

28 March 2009

Sekilas Pandang : oleh YDP ketika MAC23 pada 28022009

Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana telah diberi kemudahan kepada pentadbiran PSSCM Cawangan Selangor bagi penggal 2007/2009 berjalan dengan baik. Pada umumnya tahap pencapaian adalah memuaskan dan bertambah baik walaupun tidak rancak dengan aktiviti-aktiviti umum.

Daripada aspek keahlian terdapat peningkatan dalam pengambilan ahli-ahli baru jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya begitu juga dengan jumlah ahli-ahli yang berjaya menamatkan Kursus Silat Cekak masing-masing dengan angka yang memberangsangkan. Peranan Tenaga Pengajar itu adalah dilihat sebagai tulang belakang Cawangan perlu lebih serius dalam menguruskan hal ehwal Kelas Latihan masing-masing. Namun kebanyakan Pusat Latihan masih belum dapat menguruskan sumber manusia dengan baik untuk membantu perkembangan Cawangan khususnya dalam melebarkan sayap ke setiap daerah di negeri Selangor ini.

Sambutan Ulangtahun Penubuhan Cawangan Yang Ke-25 iaitu Sambutan Jubli Perak akan genap pada 21 Julai 2010. Diharapkan Jawatankuasa Cawangan yang baru dipilih dapat merancang sesuatu program yang boleh meninggalkan kenangan dan sejarah yang bermakna di samping dapat menaikkan dan mengharumkan nama Cawangan ke seluruh negara. Tema ”Bersama Bersatu” yang digunakan pada tahun 2006 masih terus menjadi slogan yang relevan dalam merapatkan saf-saf pimpinan Cawangan, Pusat-pusat Latihan dan Tenaga-tenaga Pengajar.

Sambutan program Kad Setia pada tahun ini nampak sangat berkurangan dan tidak menggalakkan. Matlamat persatuan dalam membangunkan suatu projek besar melalui sumbangan ahli-ahli dalam Kad Setia sedikit sebanyak telah terbantut dan tergendala. Oleh yang demikian, usaha dan kempen terhadap program ini perlu dirancakkan. Begitu juga dengan sumbangan tetap untuk Tabung Kebajikan Insan PSSCM yang mana jumlah penyumbang tetap di peringkat Cawangan masih rendah.

Kewujudan blog Cawangan khususnya dan blog CEDAS serta Pusat-pusat Latihan amnya diharapkan dapat memberi banyak manfaat kepada semua ahli-ahli dalam berkongsi maklumat atau menyebarkan berita dan perkembangan Cawangan dan Pusat-pusat Latihan. Proses menaikkan taraf laman blog kepada laman sesawang untuk Cawangan diharap dapat dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Cawangan yang baru agar setaraf dengan laman-laman sesawang PSSCM Pusat dan Cawangan-cawangan lain.

Akhir sekali, saya bagi pihak Jawatankuasa Cawangan mengucapkan berterima kasih kepada semua Jawatankuasa Pengurusan Pusat / Kelas Latihan Sesi 2007/2009 serta semua Ahli-ahli PSSCM Cawangan Selangor berserta keluarga mereka kerana telah sama menyokong dan mendokong perkembangan dan pembangunan PSSCM Cawangan Selangor. Memandangkan Mesyuarat Agung Cawangan pada kali ini terdapat pemilihan Jawatankuasa Cawangan baru, diharapkan Jawatankuasa Cawangan Baru sesi 2009/11 akan lebih agresif dan pro-aktif dalam menggerakkan Cawangan ke arah yang lebih ke hadapan berbanding Cawangan-cawangan lain. Wassalam.

”BERSAMA BERSATU”

Ikhlas Daripada saya



Mejar (B) Mohmad Anuar bin Ahmad