Jejak Warisan Jawi II

10 January 2010

Selangor pertahan Piala Sultan Ahmad Shah 2010


PENYERANG gantian, R. Surendren muncul wira Selangor apabila sentuhannya membantu skuad Red Giants itu bangkit daripada ketinggalan sebelum mencatat kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan malam tadi.

Perlawanan Sumbangsih 2010 merebut Piala Sultan Ahmad Shah itu berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan turut disaksikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Presiden FAS.

Dua gol Selangor dijaringkan oleh Safee Sali pada minit ke-76 dan Surendren pada minit ke-82 selepas Idris Karim membuka jaringan buat Negeri Sembilan pada minit ke-26.

Kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan sebaik wisel permulaan ditiup pengadil, Subkhidin Salleh.

Namun tiada percubaan yang betul-betul berbahaya dapat dihasilkan kedua-dua pasukan pada tempoh 20 minit pertama perlawanan.

Negeri Sembilan akhirnya berjaya memperolehi gol pertama mereka pada minit ke-26 setelah sepakan percuma Rezal Zambery Yahya dari sebelah kanan ditanduk masuk oleh Idris yang gagal dikawal kemas oleh pertahanan Selangor, Razman Roslan.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua bermula, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Hassan dan jurulatih Selangor, K. Devan tidak melakukan sebarang pertukaran pemain.

Pada minit ke-49, Selangor hampir menyamakan kedudukan tetapi tandukan Amri Yahyah sekadar menemui tiang gol Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan pula nyaris menghukum Selangor apabila memperolehi peluang terbaik menambah jaringan pada minit ke-58 tetapi rembatan bahaya S. Kunanlan dari dalam kotak penalti berjaya ditepis baik penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Terdesak memburu gol, Devan memasukkan Surendren dan Amirulhadi pada minit ke-68 bagi menggantikan Hardi Jaafar dan Farderin Kadir.

Hasilnya, Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-76 selepas Safee pantas menyudahkan bola lorongan dari sebelah kiri oleh Surendren yang bijak melepasi dua pemain pertahanan Negeri Sembilan.

Ketika perlawanan diramal akan berakhir dengan penentuan sepakan penalti, Surendren muncul wira apabila menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke-82 setelah menerima hantaran Safee dari sebelah kanan.

Selangor seterusnya akan bertemu Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam pada Selasa ini untuk pertemuan kedua dalam saingan Liga Super 2010 sebelum mereka bertandang pula ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya untuk bertemu KL Plus pada Sabtu.

NEGERI SEMBILAN: 22-Farizal Harun, 5-Alif Samsudin (5-Rahman Zabul), 7-Aidil Zafuan Radzak, 12-Shukor Adan, 15-Ching Hong Aik, 9-Shahurain Abu Samah (14-K.Thanaraj), 17-Idris Karim, 23-Rezal Zambery Yahya (c), 6-S.Kunanlan, 18-Norizam Salaman (28-Asyraf Al-Japri), 8-Zaquan Adha Radzak.

SELANGOR: 21-Hamsani Ahmad, 3-Razman Roslan, 5-Khairul Anuar Baharom, 6-Nasriq Baharom, 4-Asraruddin Putra Omar, 18-Liew Kit Kong (19-D.Surendran), 8-Safiq Rahim, 14-Hardi Jaafar (23-R.Surendren), 7-Farderin Kadir (20-Amirulhadi Zainal), 17-Amri Yahyah (c), 10-Safee Sali.

Simpanan tidak digunakan: 22-Iqbal Suhaimi, 9-Rudie Ramli, 11-Zaiza Zainal Abidin, 12-Bunyamin Umar.


0 komentar: