Jejak Warisan Jawi II

02 July 2009

Sukan Waja Diri Hindari Belia Dari Dadah

28/06/2009 11:15am

ALOR SETAR 28 Jun — Golongan belia digalakkan supaya bergiat aktif dalam kegiatan sukan mempertahankan diri dan menyertai program Rakan Waja diri yang dilihat mampu menghindari mereka daripada terjebak dalam sebarang gejala negatif, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom.

Beliau berkata kumpulan belia yang bergiat aktif dalam kegiatan sukan itu juga mampu menjadi penyelamat kepada warisan seni mempertahankan diri turun-temurun, daripada pupus begitu sahaja.

"Nilai dalam seni warisan mempertahankan diri mampu membangunkan modal insan yang dapat melahirkan individu cemerlang untuk merealisasikan hasrat membina konsep 1-Belia, seterusnya 1-Malaysia,” kata Mohd Johari sewaktu berucap pada majlis penutup Rakan Waja diri sempena kejohanan sukan mempertahankan diri peringkat kebangsaan kali ke-11 di sini, malam tadi.

Sebanyak 1,800 peserta mewakili 10 disiplin dari 15 buah negeri termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera menyertai kejohanan tiga hari itu yang bermula Khamis lepas.

Mohd Johari yang juga Yang Dipertua Pemadam Kebangsaan berkata ramai belia menjadi penagih dadah sukar dipulihkan kerana mereka tidak aktif atau tidak mempunyai platform untuk membabitkan diri secara aktif dalam program-program yang sihat.

Sementara itu dalam kejohanan yang berakhir semalam pasukan Persekutuan Taekwando Antarabangsa Malaysia (ITFM) Sarawak muncul juara disiplin taekwando; manakala Sabah (shito-ryu); Melaka (gayung Malaysia); Pahang (gayung Fatani); Kuala Lumpur (silat lincah); Selangor (silat Helang Putih); Pahang (taekwando MGTF); Negeri Sembilan (wushu); Negeri Sembilan (silambam) dan Melaka (silat cekak). — BERNAMA
Sumber : Utusan Online

0 komentar: