Jejak Warisan Jawi II

26 July 2009

JAIS Perkenal Kad Nikah Pintar

Masalah surat nikah palsu, kesahihan pernikahan dan pelbagai masalah nikah, cerai dan rujuk di negeri Selangor akan dapat diatasi dengan penggunaan kad nikah pintar yang akan diperkenalkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor mulai September, 2009 yang akan datang.

Kad Nikah pintar yang mudah dibawa ke mana-mana ini akan menyimpan segala data pernikahan dan boleh digunakan di mana-mana terminal mudah alih MYkad bagi membaca data yang tersimpan. Dengan ini proses mengesahkan pernikahan dapat dibuktikan dengan pantas.

Sementara itu, menurut sumber, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor, pelaksanaan Kad Nikah Pintar ini adalag bagi mengelak daripada memalsukan data pernikahan di samping menjamin kesahihan sesuatu pernikahan. Pelaksanaan kad ini juga dilihat sebagai meningkatkan imej negeri Selangor sebagai sebuah negeri maju.

Kad Nikah Pintar seumpama Mykad ini boleh dipohon di Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor mulai September 2009 dengan bayaran proses sebanyak RM30.00.

Dengan perlaksanaan penggunaan kad ini, JAIS mengorak selangkah lagi ke hadapan dalam penggunaan ICT dalam urusan harian. Sebelum ini, JAIS telah melancarkan Sistem Nikah, Cerai, Rujuk (NCR) secara "on-line" di mana borang-borang permohonan nikah, cerai atau rujuk serta borang khidmat nasihat boleh didapati secara muat turun melalui internet tanpa perlu hadir ke Pejabat Agama Islam.

Ketika ini JAIS sedang mempergiatkan proses memasukkan data-data nikah ke dalam sistem maklumat Nikah bagi memudahkan masyarakat Islam di Selangor menyemak data pernikahan mereka dengan melalui internet. Dianggarkan lebih 100 ribu data pernikahan, perceraian dan rujuk di Selangor akan dimasukkan ke dalam sistem dan proses ini dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun 2010.

Masyarakat Islam boleh menyemak data nikah, cerai, rujuk mereka dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan mereka di laman sesawang di http//www.jais.gov.my.

Sebagai makluman, Sistem Nikah, Cerai, Rujuk (NCR) ini telah dilancarkan oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim di Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Agama Islam Selangor pada November, 2008 yang lalu.

0 komentar: