Jejak Warisan Jawi II

26 July 2009

JAIS Perkenal Kad Nikah Pintar

Masalah surat nikah palsu, kesahihan pernikahan dan pelbagai masalah nikah, cerai dan rujuk di negeri Selangor akan dapat diatasi dengan penggunaan kad nikah pintar yang akan diperkenalkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor mulai September, 2009 yang akan datang.

Kad Nikah pintar yang mudah dibawa ke mana-mana ini akan menyimpan segala data pernikahan dan boleh digunakan di mana-mana terminal mudah alih MYkad bagi membaca data yang tersimpan. Dengan ini proses mengesahkan pernikahan dapat dibuktikan dengan pantas.

Sementara itu, menurut sumber, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor, pelaksanaan Kad Nikah Pintar ini adalag bagi mengelak daripada memalsukan data pernikahan di samping menjamin kesahihan sesuatu pernikahan. Pelaksanaan kad ini juga dilihat sebagai meningkatkan imej negeri Selangor sebagai sebuah negeri maju.

Kad Nikah Pintar seumpama Mykad ini boleh dipohon di Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor mulai September 2009 dengan bayaran proses sebanyak RM30.00.

Dengan perlaksanaan penggunaan kad ini, JAIS mengorak selangkah lagi ke hadapan dalam penggunaan ICT dalam urusan harian. Sebelum ini, JAIS telah melancarkan Sistem Nikah, Cerai, Rujuk (NCR) secara "on-line" di mana borang-borang permohonan nikah, cerai atau rujuk serta borang khidmat nasihat boleh didapati secara muat turun melalui internet tanpa perlu hadir ke Pejabat Agama Islam.

Ketika ini JAIS sedang mempergiatkan proses memasukkan data-data nikah ke dalam sistem maklumat Nikah bagi memudahkan masyarakat Islam di Selangor menyemak data pernikahan mereka dengan melalui internet. Dianggarkan lebih 100 ribu data pernikahan, perceraian dan rujuk di Selangor akan dimasukkan ke dalam sistem dan proses ini dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun 2010.

Masyarakat Islam boleh menyemak data nikah, cerai, rujuk mereka dengan hanya memasukkan nombor kad pengenalan mereka di laman sesawang di http//www.jais.gov.my.

Sebagai makluman, Sistem Nikah, Cerai, Rujuk (NCR) ini telah dilancarkan oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim di Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Agama Islam Selangor pada November, 2008 yang lalu.

Pahlawan Melaka ; Seni Dan Inspirasi

Tarikh : 1-2 Ogos 2009

Tempat : Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka

Anjuran : PSSCM Cawangan Melaka

Program :
1. Majlis Bakti Mu Disanjung, Sembahmu Dijunjung
2. Kursus Mengenal & Mewarisi Teknik Menggunakan Senjata Melayu
3. Seminar "Seni Silat & Agama Teras Kepada Kejayaan Pahlawan Melaka"
4. Persembahan Seni Silat Nusantara
5. Pameran Seni dan Budaya Kaum-kaum Di Malaysia

Maklumat lanjut sila hubungi En. Sharizam (012-2420270), En. Huzaifah (012-6820460)
atau layari
http://melaka.silatcekak.org.my/pmsi/

sila klik
DAFTAR untuk daftar secara online

23 July 2009

Salam Ulang Tahun Kelahiran YM Guru Utama



23 Julai - Salam Ulang Tahun Kelahiran YM Guru Utama, Tuan Haji Ishak Itam yang ke-74 Tahun (1935).
Daripada YDP dan Ahli-ahli Jawatankuasa Cawangan Selangor, Saf Tenaga-tenaga Pengajar Cawangan, Pimpinan-pimpinan Pusat-pusat Latihan Cawangan dan seluruh ahli-ahli Cawangan.

Israk Mikraj : Mencari Panduan Ketamadunan

Samsu Adabi Mamat
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam



Peristiwa israk mikraj merupakan salah satu peristiwa penting dalam rakaman sejarah kehidupan Nabi SAW Peristiwa ini bukan sahaja penting kepada Nabi SAW semata-mata, malah ianya amat penting sekali kepada seluruh Umat Islam.

Sebagaimana diakui dalam banyak tulisan bahawa: “…Satu-satunya peristiwa yang paling penting berlaku pada tahun terakhir Nabi di Mekah ialah peristiwa israk dan mikraj. Peristiwa ini merupakan satu peristiwa yang paling berkesan dalam kehidupan beragama…”(Seyyed Hossein Nasr, 1994, hlm.16)


Realiti kisah Israk mi’raj ini berlaku pada tahun 621M (Hayat Muhammad,1986, hlm.151). Dalam satu tulisan lain pula menyebut peristiwa ini berlaku pada hari ke 27 dari bulan Rejab. Dalam tulisan Syed Hussein Nasr pula menerangkan bahawa peristiwa ini berlaku pada salah satu malam ganjil dari sepuluh malam penghabisan dalam bulan Ramadhan. (1994, hlm.16)

Kepada Nabi SAW peristiwa ini adalah suatu anugerah tertinggi Allah kepada Baginda sebagai Nabi kekasih Allah, di mana berlakunya pertemuan yang begitu shahdu dan qudus di antara baginda dengan Tuhannya.

Kepada Umat Islam keseluruhannya pula ianya telah mencetuskan banyak pemahaman dan perbincangan. Dalam banyak tulisan, kebanyakannya mempunyai persepsi-persepsi sebagaimana berikut:

Kalangan orang Islam ada yang menolak peristiwa ini kerana dianggap bertentangan dengan akal. Kalangan orang Islam juga ada yang berhujah masing-masingnya tentang berlakunya peristiwa ini sama ada secara roh sahaja atau secara roh dan jasad.

Kalangan orang Islam pula ramai melihat peristiwa ini penting di dalam membangunkan peraturan sosial Islam seperti larangan riba, mengumpat, perbuatan zina dan lain-lain.

Kalangan Muslim juga ramai yang melihat peristiwa ini dari aspek saintifik yang harus membuka minda masyarakat untuk pembangunan kemajuan umat Islam dan manusia keseluruhannya.

Masalah pertama ialah masalah pemikiran manusia yang menilai benar atau tidaknya peristiwa ini, khayalan atau realiti. Hal ini dapat dilihat contohnya pertama kali Nabi SAW memberitahu kaumnya, ramai yang menafikannya malah mula menghina Nabi. Malah ada kalangan Orang Islam awal yang mula meragui kebenaran Nabi s.a.w. Kalangan masyarakat Islam moden pula ada yang berlandaskan rasional semata-mata seolah menafikan peristiwa ini. Sebagaimana dijelaskan dalam satu tulisan bahawa; Mikraj merupakan peristiwa yang paling payah difahami oleh orang yang terjebak dengan dimensi reality alam fizikal semata mata. Mikraj Nabi SAW pada masa yang sama merupakan satu peristiwa yang paling payah diterima terutama sekali di kalangan generasi muda umat Islam yang sudah terpengaruh sepenuhnya dengan pandangan hidup berasaskan pernyataan sains moden. (Seyyed Hussein Nasr, 1994. hlm.16 & 24)

Sebenarnya kebimbangan orang-orang terdekat dengan Nabi SAW tentang ketidakpercayaan masyarakat tentang kisah mikraj ini apabila diceritakan kepada masyarakat umum ketika itu sudah pun digambarkan dari awal lagi. Contohnya Ibnu Hisham berkata bahawa seperti disampaikan kepadaku dari Ummu Hani binti Abdul Muthalib r.a (nama aslinya Hindun) tentang Isra’ Rasulullah s.a.w. Ummu Hani berkata; “,…setelah Baginda solat subuh baginda berkata “, Wahai ummu Hani’ sungguh aku telah solat isya akhir di lembah ini seperti yang engkau lihat, kemudian aku datang ke Baitul Maqdis dan solat di dalamnya, kemudian aku mengerjakan solat subuh bersama kalian sekarang seperti yang kalian lihat, ….aku (Hindun) berkata kepada baginda, ‘wahai Nabi Allah SAW jangan ceritakan peristiwa ini kepada manusia, sebab nanti mereka mendustakanmu dan menyakitimu’. Rasulullah SAW bersabda’ “ Demi Allah aku pasti menceritakan peristiwa ini kepada mereka. (Ibn Hisham, Sirah, 2002. hlm.363)

Masalah kedua pula, perselisihan pandangan berlaku mengenai samada peristiwa ini berlaku keatas Nabi secara roh sahaja atau jasad dan roh sekali. Masalah ini tidaklah seburuk masalah pertama yang tidak percaya kepada peristiwa israk dan mikraj ini. Dalam hal kedua ini, mereka mengakui kebenaran berlakunya Isra mikraj, namun berselisih pandangan adakah ianya berlaku secara roh atau mimpi sahaja atau adakah ianya berlaku secara pergerakan dan pengembaraan fizikal iaitu secara jasad dan Roh. Contohnya ; Ibn Ishak berkata bahawa Ya’kub bin Utbah bin al-Mughirah bin al-Akhnas berkata kepadaku jika Muawiyah bin Abu Sufyan ditanya tentang peristiwa isra’ Rasulullah s.a.w maka ia berkata: “sungguh mimpi-mimpi dari Allah adalah benar” (Ibn Hisham, 2002, hlm.361). Ini adalah salah satu contoh pandangan awal dalam sejarah Islam bahawa peristiwa ini mengikut satu pandangan berlaku tidak secara jasad tetapi secara roh sahaja.


Walau bagaimanapun tindakbalas dan reaksi manusia Islam terhadap peristiwa ini yang penting sekali adalah ianya suaTu reality yang benar-benar berlaku dan termaktub di dalam al-Quran:surah al-Isra’ ayat 1. yang bermaksud: Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. (surah al-Isra. 17:1)

Ibn Ishak dalam menyatakan mengenai periwayat-periwayat hadis israk dan mikraj bahawa; ….“mereka semua meriwayatkan dari Rasulullah SAW sebahagian dari apa yang beliau sebutkan tentang peristiwa israk yang beliau alami, . Sungguh pada peristiwa israk yang beliau jalani dan apa yang beliau sebutkan di dalamnya terdapat tujuan, seleksi dan salah satu bukti kekuasaan Allah. Di dalamnya juga terdapat pelajaran bagi orang-orang berakal,, petunjuk, rahmat pengukuhan bagi orang yang beriman kepada Allah dan membenarkannya. Sungguh peristiwa isra’ adalah salah satu bukti kekuasaan Allah. Allah SWT mengisra’kan baginda seperti yang di kehendaki-Nya untuk memperlihatkan ayat-ayat-Nya kepada yang Dia inginkan, hingga beliau boleh menyaksikan bukti-bukti kekuasaannya dan kemampuannya mengerjakan apa sahaja yang diingininya. (IH, 358)

Oleh itu dalam membincangkan kalangan Muslim ketiga dan keempat adalah mereka yang percaya akan peristiwa ini dan seterusnya mengambil pengajaran besar dari kisah perjalanan Nabi SAW ini. Hasil dari peristiwa inilah sebenarnya umat Islam boleh jadikan sebagai salah satu panduan di dalam pembentukan ketamadunan umat Islam sendiri. Panduan ketamadunan itu sama ada dari segi peradabannya dan juga tamadun kebendaan dan keilmuannya.

Dari segi panduan peradaban, pengajaran dari peristiwa ini banyak menyumbang kepada sistem kemasyarakatan sehingga tidak dapat dinafikan lagi. Sebagaimana disebut dalam sirah Ibn Hisham bahawa, Keburukan-keburukan seperti keburukan orang yang memakan harta anak yatim, orang yang memakan harta riba, laki-laki penzina, wanita-wanita penzina dan sebagainya (Ibn Hisham, 2002 hlm.367). Gambaran balasan kejahatan ini, jika difahami akan menyedarkan kita mengenai keburukan dan siksaan perbuatan ini. Menghindari kejahatan seperti ini akan memberikan keharmonian kepada sesuatu bangsa itu dan secara langsung dapat membina peradaban bangsa berkenaan.

Dalam satu tulisan menyebut bahawa, pengalaman rohani yang utama hasil peristiwa israk mikraj ini merupakan contoh perjalanan rohani dan ibarat kiasan kepada kehidupan spiritual umat Islam umumnya. Malam pengembaraan “laylat al-Mi’raj ialah cermin kepada malam qadar (laylat al-qadr). ..Pengalaman Nabi dalam peristiwa mikraj ini menjadi inspirasi kepada ramai penulis Islam termasuklah pengaruhnya dalam karya-karya Ibn Arabi dan Sana’i yang kemudiannya mempengaruhi penulis dan kesusasteraan Eropah terutamanya Dante seperti yang dapat dilihat dalam karyanya Divine comedy. Peristiwa mikraj ini juga menjadi sumber ilham para wali dan ahli mistik Islam dari satu generasi ke satu generasi dan juga menggariskan asas kosmos Islam (Seyyed Hussein Nasr, 1994, hlm.17)

Namun begitu sebenarnya, Apa yang perlu dan penting sekali bagi umat Islam perpanjangkan kisah realiti ini ialah pengaplikasiannya dan pengadaptasian pengetahuan hasil anugerah terhadap Nabi SAW ini dalam aspek sains dan teknologi, sains angkasa, kosmologi dan sebagainya yang akhirnya boleh menyumbang kepada kemajuan tamadun Manusia. Sekadar menyebut beberapa contoh sahaja sebagaimana di bawah.

Burak; adalah suatu perlambangan kenderaan terpantas meneroka angkasa lepas. Orang Barat menggunakan kenderaan angkasa untuk meneroka planet Marikh contohnya. mengambi masa beberapa tahun untuk pergi dan kembali.

Masa; masa di sisi Tuhan adalah panjang berbanding masa dunia. Rasulullah SAW meneroka 7 lapisan langit hingga menemui Tuhannya dalam masa satu malam sahaja.

Alam; adalah ‘ma siwallah-apa atau sesuatu selain Allah’ keluasannya tidak terkira. …..ketika baginda melihat dengan mata batin dari sidrat al-muntaha ke alam ini. (Husein Haikal, 1989, hlm.157). Hal ini sudah pasti pada masa itu boleh melihat keseluruhan bumi ini yang bulat bentuknya.

Aspek-aspek sains dan teknologi serta keilmuan lain seperti aspek perubatan, kisah-kisah masa depan, hirarki sesebuah kerajaan dan sebagainya

Cukuplah sekadar membayangkan beberapa contoh sahaja panduan ketamadunan hasil dari reality peristiwa israk dan mikraj ini kepada kemajuan ilmu serta sains dan teknologi. Sebenarnya banyak lagi panduan ketamadunan yang boleh diambil dari kisah isra dan mikraj ini dalam banyak aspek ilmu pengetahuan. Kalau kita meneliti banyak pembikinan filem Hollywood sebagai contoh lain, sebenarnya jika diselidiki akan menyerlahkan suatu pengadaptasian dari kisah isra’ dan mikraj ini. Orang Barat juga begitu maju dalam bidang sains angkasa, sedangkan cetusan mengenai sains angkasa dan penerokaan angkasa lepas itu telah dicetuskan sedemikian lama oleh baginda SAW melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

Sebagai kesimpulannya peristiwa Isra Mikraj adalah suatu kejadian yang benar-benar berlaku dalam sejarah kehidupan Nabi SAW yang menjadi suatu anugerah kebesaran baginda SAW sebagai kekasih Allah dan nabi Akhir zaman. Peristiwa ini banyak mendatangkan kesan kepada kehidupan beribadat, bermasyarakat dan kehidupan keilmuan umat Islam dan manusia keseluruhannya. Dalam kehidupan beribadat Solat contohnya adalah ibadat terpenting yang diterima oleh baginda SAW secara terus dari Allah SWT.. Dalam kehidupan bermasyarakat pula. Segala peristiwa yang disaksikan oleh Nabi SAW mengenai keburukan mengumpat, riba, perbuatan zina dan sebagainya adalah mampu membentuk masyarakat berperadaban dan berharmoni. Akhir sekali peristiwa ini banyak mencetuskan dan membuka jalan kearah penerokaan pelbagai ilmu sains dan teknologi seperti kemajuan sains angkasa dan seterusnya menjadi panduan kepada ketamadunan manusia. Wallahu a’lam.

18 July 2009

Pendaftaran Komuniti Silat Cekak Online

- Pendaftaran ruangan ahli untuk Komuniti silatcekak.org.my kini dibuka kepada semua ahli pemegang Kad Setia PSSCM.

- Pendaftaran boleh dibuat di ruangan ahli di silatcekak.org.my

- Pada masa ini komuniti ini menyediakan ruangan forum dan diskusi (chat).

08 July 2009

Pertandingan Persembahan PSSCM-IPT Kebangsaan 2009

1. Karnival Wajadiri IPT : Pertandingan Persembahan Seni Silat Cekak Malaysia Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kebangsaan 2009 Ke-3 adalah program anjuran bersama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan PSSCMUiTM Malaysia.

2. Pertandingan ini diadakan pada 5-6 Disember 2009 (Sabtu dan Ahad) bertempat di Pusat Sukan UiTM Malaysia.

3. Pertandingan ini terbuka kepada semua PSSCM seluruh IPTA & IPTS di peringkat kebangsaan dan dikendalikan oleh Jabatan Penerangan PSSCM.

4. Setiap IPTA & IPTS yang ingin menyertai pertandingan ini perlu mendaftar kepada PSSCM UiTM Malaysia.

5. Setiap pasukan dikenakan bayaran sebanyak RM150.00, tidak termasuk kos penginapan dan sajian. Bayaran hendaklah dibayar kepada PSSCMUiTM MALAYSIA. Sekiranya terdapat pasukan yang menarik diri, bayaran tersebut tidak boleh dituntut.

6. Pihak Penganjur (PSSCMUiTM MALAYSIA) berhak ,menolak mana-mana pasukan setelah merujuk kepada Pengerusi Pertandingan.

7. Jabatan Penerangan PSSCM diberi tanggungjawab bagi mengendali, menyelaras dan membantu program tersebut. Sebarang bentuk arahan, peraturan dan larangan yang termaktub dalam Buku Panduan Kursus Pertunjukan Dan Demostrasi Edisi ke-3 2008 di gunapakai selain daripada Peraturan Pertandingan yang dilampirkan ini.

Borang Pendaftaran KWJ 2009.doc

Borang Penyertaan KWJ UiTM 2009.doc

Format Pertandingan Wajadiri Uitm 2009.doc


Keputusan Pertandingan Tahun Lepas (UniKL-BMI 2008)
Johan Keseluruhan (L) : Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS 1)
Johan Keseluruhan (P) : Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Pasukan Harapan (L) : Universiti Teknologi MARA (UiTM Jln Othman)
Pasukan Harapan (P) : Universiti Tenaga Nasional (UNITEN, PAHANG)



Maklumat Lanjut
1. http://www.psscmuitm.org/
2. PSSCM Politeknik PSAS, Behrang (PSSCM Caw Selangor)

02 July 2009

Sukan Waja Diri Hindari Belia Dari Dadah

28/06/2009 11:15am

ALOR SETAR 28 Jun — Golongan belia digalakkan supaya bergiat aktif dalam kegiatan sukan mempertahankan diri dan menyertai program Rakan Waja diri yang dilihat mampu menghindari mereka daripada terjebak dalam sebarang gejala negatif, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom.

Beliau berkata kumpulan belia yang bergiat aktif dalam kegiatan sukan itu juga mampu menjadi penyelamat kepada warisan seni mempertahankan diri turun-temurun, daripada pupus begitu sahaja.

"Nilai dalam seni warisan mempertahankan diri mampu membangunkan modal insan yang dapat melahirkan individu cemerlang untuk merealisasikan hasrat membina konsep 1-Belia, seterusnya 1-Malaysia,” kata Mohd Johari sewaktu berucap pada majlis penutup Rakan Waja diri sempena kejohanan sukan mempertahankan diri peringkat kebangsaan kali ke-11 di sini, malam tadi.

Sebanyak 1,800 peserta mewakili 10 disiplin dari 15 buah negeri termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera menyertai kejohanan tiga hari itu yang bermula Khamis lepas.

Mohd Johari yang juga Yang Dipertua Pemadam Kebangsaan berkata ramai belia menjadi penagih dadah sukar dipulihkan kerana mereka tidak aktif atau tidak mempunyai platform untuk membabitkan diri secara aktif dalam program-program yang sihat.

Sementara itu dalam kejohanan yang berakhir semalam pasukan Persekutuan Taekwando Antarabangsa Malaysia (ITFM) Sarawak muncul juara disiplin taekwando; manakala Sabah (shito-ryu); Melaka (gayung Malaysia); Pahang (gayung Fatani); Kuala Lumpur (silat lincah); Selangor (silat Helang Putih); Pahang (taekwando MGTF); Negeri Sembilan (wushu); Negeri Sembilan (silambam) dan Melaka (silat cekak). — BERNAMA
Sumber : Utusan Online