Jejak Warisan Jawi II

28 March 2009

Sekilas Pandang : oleh YDP ketika MAC23 pada 28022009

Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana telah diberi kemudahan kepada pentadbiran PSSCM Cawangan Selangor bagi penggal 2007/2009 berjalan dengan baik. Pada umumnya tahap pencapaian adalah memuaskan dan bertambah baik walaupun tidak rancak dengan aktiviti-aktiviti umum.

Daripada aspek keahlian terdapat peningkatan dalam pengambilan ahli-ahli baru jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya begitu juga dengan jumlah ahli-ahli yang berjaya menamatkan Kursus Silat Cekak masing-masing dengan angka yang memberangsangkan. Peranan Tenaga Pengajar itu adalah dilihat sebagai tulang belakang Cawangan perlu lebih serius dalam menguruskan hal ehwal Kelas Latihan masing-masing. Namun kebanyakan Pusat Latihan masih belum dapat menguruskan sumber manusia dengan baik untuk membantu perkembangan Cawangan khususnya dalam melebarkan sayap ke setiap daerah di negeri Selangor ini.

Sambutan Ulangtahun Penubuhan Cawangan Yang Ke-25 iaitu Sambutan Jubli Perak akan genap pada 21 Julai 2010. Diharapkan Jawatankuasa Cawangan yang baru dipilih dapat merancang sesuatu program yang boleh meninggalkan kenangan dan sejarah yang bermakna di samping dapat menaikkan dan mengharumkan nama Cawangan ke seluruh negara. Tema ”Bersama Bersatu” yang digunakan pada tahun 2006 masih terus menjadi slogan yang relevan dalam merapatkan saf-saf pimpinan Cawangan, Pusat-pusat Latihan dan Tenaga-tenaga Pengajar.

Sambutan program Kad Setia pada tahun ini nampak sangat berkurangan dan tidak menggalakkan. Matlamat persatuan dalam membangunkan suatu projek besar melalui sumbangan ahli-ahli dalam Kad Setia sedikit sebanyak telah terbantut dan tergendala. Oleh yang demikian, usaha dan kempen terhadap program ini perlu dirancakkan. Begitu juga dengan sumbangan tetap untuk Tabung Kebajikan Insan PSSCM yang mana jumlah penyumbang tetap di peringkat Cawangan masih rendah.

Kewujudan blog Cawangan khususnya dan blog CEDAS serta Pusat-pusat Latihan amnya diharapkan dapat memberi banyak manfaat kepada semua ahli-ahli dalam berkongsi maklumat atau menyebarkan berita dan perkembangan Cawangan dan Pusat-pusat Latihan. Proses menaikkan taraf laman blog kepada laman sesawang untuk Cawangan diharap dapat dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Cawangan yang baru agar setaraf dengan laman-laman sesawang PSSCM Pusat dan Cawangan-cawangan lain.

Akhir sekali, saya bagi pihak Jawatankuasa Cawangan mengucapkan berterima kasih kepada semua Jawatankuasa Pengurusan Pusat / Kelas Latihan Sesi 2007/2009 serta semua Ahli-ahli PSSCM Cawangan Selangor berserta keluarga mereka kerana telah sama menyokong dan mendokong perkembangan dan pembangunan PSSCM Cawangan Selangor. Memandangkan Mesyuarat Agung Cawangan pada kali ini terdapat pemilihan Jawatankuasa Cawangan baru, diharapkan Jawatankuasa Cawangan Baru sesi 2009/11 akan lebih agresif dan pro-aktif dalam menggerakkan Cawangan ke arah yang lebih ke hadapan berbanding Cawangan-cawangan lain. Wassalam.

”BERSAMA BERSATU”

Ikhlas Daripada saya



Mejar (B) Mohmad Anuar bin Ahmad

0 komentar: