Jejak Warisan Jawi II

13 March 2009

PSSCM Lahir Modal Insan Berwawasan

KUANTAN - Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) terus berdiri teguh walaupun usia penubuhannya sudah menjangkau 44 tahun kerana sokongan ahlinya biarpun menyumbang secara sukarela.

Naib Presiden PSSCM, Datuk Mydin Kadir Shah berkata, sejak ditubuhkan pada 1975, ahlinya secara sukarela melatih ahli lain atas dasar tanggungjawab tanpa mengharapkan sebarang bayaran.

Menurutnya, kebanyakan ahli persatuan berkenaan kini bergelar profesional dalam bidang masing-masing, namun mereka masih meluangkan masa memastikan aktiviti persatuan itu terus berkembang dari semasa ke semasa.

"Salah satu tujuan asal penubuhan persatuan ini ialah menyatukan anak bangsa dan melahirkan modal insan berwawasan, selain mengikis perasaan hasad dengki dan iri hati apabila permuafakatan dibentuk. Selain itu, persatuan ini juga adalah sebagai bentuk dakwah untuk mengeratkan hubungan antara umat Islam keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Ujian Sijil Rendah Silat Cekak Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, semalam.

Beliau berkata, persatuan silat pada umumnya bertujuan melahirkan insan berkualiti, bukan sahaja pencapaian akademik tetapi dalam kemahiran insaniah individu.

"Dalam dunia persilatan, ahli diajar untuk bersifat berani dan tabah menghadapi dugaan, namun keberanian itu perlu disertai dengan iman sebagai panduan untuk mengawal diri. Apabila aspek itu berjaya dikuasai, senario bergaduh sesama sendiri untuk menunjukkan kekuatan dapat dihindari kerana masing-masing memahami dengan jelas peranan yang perlu dimainkan dalam masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai Ujian Sijil Rendah Silat Cekak Zon Timur berkenaan, beliau berkata, ujian itu adalah rutin yang dibuat setiap tahun sejak persatuan itu didaftarkan.

"Ujian ini adalah untuk ahli di Zon Timur yang merangkumi peserta dari Kelantan, Terengganu dan Pahang serta ahli akan diuji dari segi teori dan praktikal selama dua hari," katanya.

Petikan : Sinar Harian 12 Mac 2009 (Edisi Pahang)

0 komentar: