Jejak Warisan Jawi II

19 January 2009

19 Hari di Tahun 2009

Sudah 19 hari kita berada dalam tahun 2009. Langkah demi langkah sedang diteruskan agar Seni Silat Cekak terus dan kekal berada di landasan yang betul dalam mencapai matlamat yang masih jauh lagi. Rasanya dah terlewat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009 mahupun Salam Ma'al Hijrah 1430H.

Mesyuarat Agung Cawangan Kali Ke-23
Tahun ini sekali lagi Cawangan akan mengadakan pemilihan Jawatankuasa Baru untuk sesi 2009/2011 dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke23 PSSCM Cawangan Selangor yang dianggarkan akan diadakan pada 28 Februari 2009 di tempat yang belum ditentukan lagi. Pada tahun hadapan, usia Cawangan akan meningkat kepada 25 tahun iaitu Jubli Perak. Kebiasaanya, program perayaan atau sambutan Jubli Perak sesuatu persatuan akan diadakan. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab Jawatankuasa Cawangan yang baru untuk merancang dan menjayakan prorgam berkenaan.

Berita Kematian Bonda Penyelia Kelas Klang
Pada 10 Januari 2009 yang lalu, seorang Ahli Jawatankuasa Cawangan merangkap Penyelia Kelas Latihan Klang, saudara Isa Sulaiman telah kehilangan bonda beliau yang tersayang yang telah meninggal dunia pada jam 5.00 pagi di Batu Pahat, Johor. Beberapa Ahli Jawatankuasa Cawangan turut sama menziarahi Jenazah pada hari berkenaan. AL-FATIHAH.

Sambutan 44 Tahun PSSCM (6-7 Jun 2009)
Tahun 2009 memberi pengertian yang besar kepada PSSCM Cawangan Terengganu bila mana Cawangan Terengganu ini akan mencapai usia 21 tahun semenjak penubuhannya pada tahun 1988. Pada tahun tersebut, satu perayaan secara besar-besaran akan diadakan secara bersama dengan Sambutan 44 Tahun PSSCM di mana Cawangan Terengganu menjadi tuan rumah. Ianya akan diadakan pada 6-7 Jun 2009.

Sempena dengan perayaan ini, pihak Jawatankuasa Induk perayaan telah bersetuju untuk menganjurkan Pertandingan Mencipta Logo dan Tema Perayaan 21 Tahun PSSCMCT. Pertandingan yang terbuka kepada seluruh ahli PSSCMCT ini bertujuan untuk memberi peluang kepada seluruh ahli dalam melibatkan diri dalam penganjuran program perdana ini. Maklumat dan Peraturan pertandingan boleh dimuat-turun di sini.

Kesihatan YM Guru Utama
Umum kita memaklumi bahawa kesihatan YM Guru Utama tidak mengizinkan beliau untuk banyak bergerak. Sama-samalah kita sentiasa berdoa agar kesihatan YM Guru Utama kita dikembalikan seperti biasa. Buat masa sekarang beliau sedang berada di rumah beliau di Tanah Liat, Bukit Mertajam.

0 komentar: