Jejak Warisan Jawi II

28 August 2008

Panduan Penubuhan dan Pengurusan Persatuan Silat Sekolah

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
BLOK J, PARAS 7
PUSAT BANDAR DAMANSARA
50604 KUALA LUMPUR

Ruj. Kami : KP(BS)8591/Jld.VI / (90)
Tarikh : 10 Februari 1992

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 4/1992 :
Panduan Penubuhan dan Pengurusan
Persatuan Silat Sekolah

DATO’ ASIAH BT ABU SAMAH
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia


1. Pendahuluan

1.1 Dipercayai bahawa silat di Malaysia telah berusia lebih dari 400 tahun. Pengajaran dan pembelajaran diwariskan dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini. Sedaya yang boleh segala keaslian budaya silat seperti cara berpakaian, langkah gerak, istiadat dan lain-lainnya dipelihara.

1.2 Kegiatan silat kini bukan sahaja aktif di kalangan masyarakat Melayu di kampung malah diterima sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah, maktab perguruan, universiti dan juga di kelab-kelab rekreasi dan sukan Jabatan Kerajaan dan swasta. Badan Penyelaras kegiatan silat di Malaysia, Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dalam tahun 1983.

1.3 Pada Disember 1987 negara kita telah menjadi tuan rumah kepada Kejuaraan Ke-4 Silat Sedunia. Masyarakat di negara ini telah dikejutkan oleh penyertaan dari negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Kemunculan peserta-peserta dan negara-negara ini telah memberi semangat kepada
pencipta silat untuk mengembangkan pengajaran silat ke seluruh pelusuk negara.

1.4 Usaha ini disokong pula dengan permintaan yang bertambah dari masyarakat umum untuk membuka kelas-kelas silat. Perkembangan seterusnya memperlihatkan acara pertandingan silat dimasukkan ke dalam Sukan SEA. Sukan Malaysia dan Sukan Merdeka Brunei. Kejuaraan-kejuaraan khusus untuk silat turut dianjurkan baik di dalam mahupun di luar negara. PESAKA menganjurkan Kejuaraan Silat Kebangsaan, Kejuaraan Silat Terbuka Malaysia dan Kejuaraan Silat Remaja Malaysia. Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) menganjurkan Kejuaraan Jemputan Silat Singapura, dan Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT) menganjurkan Kejuaraan Silat Sedunia.

1.5 Terdapat 267 jenis silat di negera ini. Setiap Perguruan mempunyai kesamaan dankelainan di antara satu sama lain. Dalam perkara ini pengamal silat perlu mengetahui matlamat mempelajari silat agar boleh memilih jenis silat yang bersesuaian.

1.6 Sehubungan dengan ini, Kementerian Pendidikan merasakan perlu perkembangan silat di sekolah ditentukan arahnya. Penentuannya akan dapat dijadikan asas kepada jenis silat yang dipilih dan seterusnya mengawasi perjalanan kegiatan-kegiatannya bagi memastikan ianya mencapai matlamat.


2. Matlamat

2.1 Untuk menyemai dan mengukuhkan rasa cinta para pelajar terhadap warisan budaya bangsa.

2.2 Untuk melahirkan generasi yang berdikari, bersikap positif, sabar, berani menghadapi cabaran dan yakin pada diri.

2.3 Menyediakan pelbagai aktiviti silat di sekolah.


3. Dasar Penubuhan Kelab Silat Sekolah

3.1 Penubuhan kelab silat sekolah adalah tertakluk kepada ’The School (Societies) Regulation 1956’.

3.2 Untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kelab, sekolah-sekolah hendaklah mendapat bantuan nasihat dan tenaga pengajar dari perguruan-perguruan silat yang berdaftar dengan :

a. Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA);
b. Majlis Silat Negeri;
c. Majlis Silat Daerah;
d. Badan-badan Perguruan Silat yang berdaftar.

3.3 Bagi tujuan penyelarasan serta kawalan perkara-perkara berikut hendaklah dijadikan panduan di dalam membuat pemilihan perguruan silat yang sesuai :

3.3.1 Pendaftaran Perguruan Silat - Perguruan Silat hendaklah berdaftar. Sesalinan Sijil Pendaftaran badan perguruan perlu diperolehi oleh pihak sekolah. Status pendaftarannya boleh secara langsung kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau berdaftar dengan mana-mana badan lain yang berdaftar dengan Jabatan berkenaan.

3.3.2 Pendaftaran Tenaga Pengajar - Semua tenaga pengajar hendaklah berdaftar. Sesalinan Sijil Kejurulatihan yang dikeluarkan oleh badan perguruan berkenaan hendaklah diperolehi dari tenaga pengajar yang ditugaskan di sekolah.

3.3.3 Adat Istiadat Perguruan - Adat istiadat Perguruan Silat yang dijalankan hendaklah tidak menyalahi ajaran Agama Islam atau boleh memesongkan akidah para pelajar. Antara adat istiadat yang tidak wajar dilakukan ialah seperti menyemah gelanggang, memakai tangkal, azimat dan pertapaan.

3.3.4 Kurikulum - Kurikulum perguruan silat hendaklah jelas dan terancang serta mampu menyediakan para pelajar untuk menyertai pertandingan di dalam pertandingan-pertandingan yang diiktiraf seperti Pertandingan Silat Olahraga dan Pertandingan Silat Seni. Kurikulum silat juga perlu jelas dalam hal-hal mengenai peringkat pencapaian dan pensijilan.

3.4 Hanya para pelajar lelaki dan perempuan berumur sekurang-kurangnya 10 tahun sahaja dibenarkan mengikuti latihan silat.


4. Pengurusan Kelab Silat Sekolah

4.1 Organisasi

4.1.1 Penasihat - Kelab Silat sekolah hendaklah diawasi oleh sekurang-kurangnya seorang guru.
Di antara tanggungjawab guru penasihat ialah :

a. Menubuh sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh pelajar yang akan menolong merancang dan mengurus aktiviti kelab.

b. Membimbing jawatankuasa kelab merancang, merangka dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dapat memupuk dan mempertingkatkan minat pelajar, sehubungan dengan ini, guru penasihat
seharusnya mempunyai pengetahuan yang diperlukan.

c. Mendapatkan bantuan jurulatih bertauliah dalam merancang dan melaksanakan aktiviti yang bersesuaian.

d. Membantu ahli mengenalpasti masalah, menganalisanya dan seterusnya mencari langkah untuk mengatasi masalah tersebut.

e. Hadir dalam semua perjumpaan dan latihan yang diadakan oleh Kelab.

f. Memupuk keyakinan diri dan ketabahan di kalangan ahli Kelab dalam usaha meningkatkan kemahiran bersilat.


Untuk menjalankan tugas dengan lebih berkesan, Penasihat Kelab seelok-eloknya didedahkan kepada pengetahuan seperti berikut :-

a.Konsep dan falsafah silat.
b.Adat istiadat dalam Silat.
c.Kurikulum Silat.
d.Jenis dan sistem pertandingan silat.


4.1.2 Jawatankuasa

a. Jawatankuasa hendaklah terdiri daripada :
Pengerusi
Naib Pengerusi
Setiausaha
Bendahari
dan ahi-ahli jawatankuasa, yang bilangannya bergantung kepada bilangan ahli dalam kelab. Bagi sekolah-sekolah rendah memadai dengan melantik seorang Pengerusi untuk membantu Guru Penasihat.

b. Ahli Jawatankuasa perlu diasuh dan dilatih untuk membolehkan mereka memainkan peranan penyeliaan dan membantu guru dalam kerja-kerja pengurusan kelab.

Sumber : http://www.moe.gov.my/galeri_awam/pekeliling/2008_BTMK_212_1904_3777.pdf

0 komentar: