Jejak Warisan Jawi II

09 June 2008

Perpaduan Melayu Berada Di Tahap Paling Rendah - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Jun 2008 (Bernama) -- Perpaduan Melayu kini berada pada tahap paling rendah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Katanya ia berlaku kerana orang Melayu kini yang tergolong dalam pelbagai organisasi mempunyai pandangan dan halatuju yang berbeza-beza.

"Mereka tidak ada halatuju yang sama arah sepertimana dahulu, dan itu menyebabkan banyak organisasi di luar lingkungan kita mula melontar beberapa pandangan yang dulunya relevan tetapi kini tidak relevan lagi umpamanya soal ketuanan Melayu," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil konvokesyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini, Sabtu.

Menteri itu berkata mengenai soal ketuanan Melayu, orang Melayu sebenarnya tidak meminta lebih daripada apa yang terkandung dalam Perlembagaan atau berhasrat mengetepikan hak dan agama kaum lain.

Beliau berkata apabila orang Melayu menyuarakan kembali soal ketuanan Melayu, ada yang berpandangan seolah-olah orang Melayu mahu merampas hak orang lain sedangkan itu bukan hasratnya.

"Saya ingin tekankan kita tidak menolak (hak) bangsa dan agama lain tetapi cuma mahu hak kita dipertahankan," katanya.

Beliau berkata orang Melayu kini juga sudah kehilangan kuasa politik apabila terdapat penghakisan kuasa politik dan ia boleh dilihat dalam majoriti suara di Parlimen dan beberapa peristiwa yang berlaku di negeri Selangor dan Perak. Mengenai seni silat, beliau meminta persatuan silat bersama-sama berganding bahu menterjemahkan agenda dalam menyatupadukan ummah.

"Kita tahu setiap kaum ada kaedah seni mempertahankan diri tersendiri, ini bukan satu wadah untuk kita bertempur. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu mempertahankan rasa kecintaan terhadap negara," kata Ahmad Zahid.

Seramai 868 pelajar Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia menerima sijil masing-masing. Enam puluh orang daripada mereka adalah penerima sijil lulus dengan Kepujian.-- BERNAMA


sumber : http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=337970

0 komentar: