Jejak Warisan Jawi II

06 May 2008

Porfail Ringkas ; Pusat Latihan KLANG

Di satu sudut Bandar Diraja Klang. Kenderaan lalu-lalang diselangi dengan 1001 ragam manusia, pusat membeli belah yang tumbuh bagai cendawan, waktu malamnya pula kilauan lampu-lampu menghiasi bandar. Di sudut lain, tanpa disedari ramai, sekumpulan golongan yang cintakan budaya berkhimpun di suatu tempat, disitulah berjalannya kelas silat di celah-celah kesibukan bandar. Itulah kelas Silat Cekak yang lebih dikenali oleh ahli-ahlinya sebagai Pusat Latihan PSSCM Klang (PLK).

Pusat Latihan ini adalah merupakan Kelas Latihan Silat Cekak yang ke-7 diwujudkan oleh Cawangan. Mula beroperasi pada tahun 2003 dengan mewujudkan kelas pertama iaitu BDR-01. Perkataan BDR membawa maksud Bandar DiRaja yang menjadi singkatan kepada nama Kelas Latihan. Rumah Pusat Latihan Klang beralamat di Lot 853, Jalan Hj. Mukapi, Kampung Batu 3, Jalan Kapar 42000 Klang, Selangor.

Rumah PLK ini dipinjamkan oleh salah seorang ahli dari BDR-01 iaitu En. Yusof bin Ali. Pada mulanya, PLK merupakan sebuah rumah yang usang dan sekitarnya dipenuhi semak samun. Namun atas usaha ahli-ahli PSSCMCS terutamanya daripada kelas BDR-01 berusaha mengadakan gotong royong dan membaik pulih rumah PLK, maka PLK adalah seperti yang dapat kita lihat sekarang.

Pada 23 Ogos 2003 adalah tarikh bersejarah di mana majlis ‘Buka Rumah’ Kelas Latihan Klang diadakan dan disempurnakan sendiri oleh YM. Guru Utama PSSCM iaitu Tuan Hj. Ishak Itam. Pada hari tersebut juga diadakan Majlis Ijazah tamat bagi kelas BDR-01 seramai 18 orang. Sehingga ke hari ini, kelas PLK telah mencapai ke BDR-16.

Pada tahun 2003 juga, pihak PSSCM telah melantik Saudara Saiful Effendi Yahaya selaku penyelia Kelas Latihan Klang yang pertama. Setelah beliau menyumbangkan bakti selama 3 tahun, tahun 2006 tiba masa tanggungjawab beliau berpindah pula kepada Saudara Joehary Zakaria dan mulai Mac 2007 tanggungjawab sebagai Penyelia Kelas disandang pula oleh Saudara Isa Sulaiman.

Mengimbas kembali kegiatan ahli-ahli Silat Cekak di Pusat Latihan Klang, PLK pernah menjadi tuan rumah, perintis atau permulaan sesuatu program. Antaranya Program Perkhimpunan Ahli-ahli Tamat Cawangan Selangor, juga menjadi tuan rumah bagi Program Ibadah Qurban buat kali pertamanya dianjurkan oleh Cawangan Selangor pada 31 December 2006 yang lalu. Pusat Latihan Klang sentiasa menyokong kepimpinannya iaitu Cawangan Selangor sehingga pada tahun 2004 sebahagian besar peserta yang mewakili Negeri Selangor bagi Pertandingan Wajadiri 2004 di Ipoh, Perak anjuran Kementerian Belia & Sukan merupakan ahli-ahli Pusat Latihan Klang dan merangkul beberapa siri kemenangan.

Walaupun usia Kelas Latihan Klang masih terlalu muda, namun jenteranya akan sentiasa berusaha menggerakkan ‘Budaya Bangsa’. Maklumat lanjut mengenai ‘Silat Cekak’ Kelas Latihan Klang bolehlah menghubungi Sdr. Isa Sulaiman di talian 012-2170629.

0 komentar: